Gelaran EPL tertangguh, Everton ikat Liverpool

LONDON, 22 JUN – Perjalanan Liverpool menuju juara gelaran Liga Perdana Inggeris (EPL) tertangguh ketika pendahulu liga itu kembali beraksi dan berakhir dengan keputusan seri tanpa jaringan menentang Everton, sementara Chelsea menang 2-1 di Aston Villa pada perlawanan semalam.

Pasukan Jurgen Klopp yang menyambung semula perlawanan EPL memerlukan dua kemenangan sahaja lagi untuk merangkul gelaran pertama EPL setelah selama 30 tahun menanti.

Tetapi persembahan Liverpool kelihatan kurang menyakinkan dalam perlawanan pertama mereka dalam 106 hari selepas penutupannya akibat COVID-19.

Walaupun penampilan mereka yang kurang bernasib baik di belakang pintu tertutup di Stadium Goodison Park, Liverpool kini kekal mempunyai kelebihan 23 mata di hadapan Manchester City yang berada di tempat kedua.

Sekiranya City kehilangan mata di tempat sendiri kepada Burnley pada perlawanan Isnin ini, maka Liverpool dapat meraih gelaran EPL mereka ketika menentang Crystal Palace di Anfield pada Rabu ini.

Kemenangan City akan menunda Liverpool sebagai juara hingga setidaknya pada pertembungan mereka dengan pasukan Pep Guardiola di Stadium Etihad pada 2 Julai nanti.

Liverpool hanya menang dua dari tujuh perlawanan terakhir mereka dalam semua pertandingan. “Itu adalah pertarungan yang nyata. Kedua-dua pasukan menunjukkan mereka memahami bahawa itu adalah perlawanan sukar,” kata Klopp. – AFP

Peminat Everton kelihatan di layar besar menyaksikan perlawanan EPL secara dalam talian antara Everton dan Liverpool di Stadium Goodison Park, Liverpool, England, semalam. – AP