Gelaran ke-100 lonjak Federer

PARIS, 5 Mac – Gelaran ke-100 Roger Federer telah melonjakkannya ke kedudukan keempat dalam ranking ATP.

Sementara itu lawan yang ditewaskan oleh Federer di final Dubai, Stefanos Tsitsipas, juga menyaksikan kedudukannya naik.

Pemain dari Greece itu melonjak ke kedudukan 10 teratas dunia.

Gael Monfils, pemain yang tewas dalam saingan separuh akhir, melangkah empat anak tangga dan kembali dalam senarai 20 terbaik iaitu di kedudukan 19.

Pemain yang paling ketara perubahan rankingnya adalah bintang Australia, Nick Kyrgios, di mana dia menewaskan dua pemain tiga teratas dunia, Rafael Nadal (2) dan Alexander Zverev (3) serta John Isner (9) dalam laluan kejuaraannya di Acapulco. Kyrgios melangkah 39 anak tangga ke kedudukan 33.

Novak Djokovic tidak bersaing dalam minggu ini namun masih jauh selesa di puncak carta, meskipun kedua-dua Nadal dan Zverev memperoleh mata penting di Mexico.

Guido Pella, yang telah memenangi gelaran ATP pertamanya di Sao Paulo hujung minggu lalu juga meraih kedudukan positif.

Pemain Argentina itu berkongsi mata yang sama dengan Kyrgios tetapi satu ranking lebih rendah, 34. – AFP