Tuesday, December 3, 2024
28.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Gelembung Pelancongan Langkawi: 38,748 ketibaan pelancong direkod

    KUCHING,  3 OKT – Projek rintis gelembung pelancongan di Pulau Langkawi, Kedah, mencapai kejayaan membanggakan selepas merekodkan ketibaan 38,748 pelancong dan menjana pendapatan lebih RM15 juta sejak dibuka pada 16 Sept lepas.

    Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Nancy Shukri berkata jumlah tersebut lebih tinggi daripada sasaran awal sebanyak 30,000 orang dan disifatkan sangat memberangsangkan.

    “Kami berharap dapat mengumumkan kebenaran rentas negeri sedikit masa lagi dan menjelang pengumuman itu, kami boleh buka gelembung pelancongan di tempat lain,” katanya dalam sidang akhbar selepas lawatan kerja ke Kampung Budaya Sarawak, di sini hari ini.

    Nancy berkata kerajaan juga sedang menimbangkan untuk menjadikan Langkawi sebagai destinasi gelembung pelancongan antarabangsa pertama di negara ini. 

    “Minggu depan saya akan berbincang dengan rakan sejawat dari negara-negara lain dan kami akan mengaturkannya (gelembung pelancongan). Langkawi merupakan model terbaik untuk inisiatif ini kerana kita ada Qatar Airways dan beberapa penerbangan antarabangsa lain yang akan tiba di pulau itu,” katanya.

    Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) Nasaruddin Abdul Muttalib berkata daripada 38,748 pelancong yang tiba di pulau peranginan itu, seramai 26,377 orang tiba melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi, manakala 7,480 orang lagi melalui Jeti Kuah. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda