Gelembung pelancongan pulihkan industri – PM M’sia

KUALA LUMPUR, 10 SEPT – Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata beberapa inisiatif bersama berhubung ‘gelembung pelancongan’ dan peraturan kuarantin boleh diteroka antara ASEAN dan China bagi memulihkan industri pelancongan dan juga saling hubungan antara penduduk.

Beliau berkata dengan berbuat demikian setiap negara berada di kedudukan yang lebih baik untuk pulih daripada kesan COVID-19.

“Begitu juga dengan pengiktirafan bersama dokumen pengiktirafan vaksinasi, yang merupakan satu lagi bidang yang mantap untuk diteroka,” tambahnya.

Beliau berkata usaha kreatif adalah penting dalam mengembalikan hubungan antara penduduk memandangkan pandemik ini telah mengakibatkan sempadan negara diperketat, dan pelancongan masih dianggap sebagai aktiviti berisiko tingi.

“Sehubungan itu kita merasa gembira apabila ASEAN sedang membangungkan dengan aktif kerangka kerja urusan koridor pelancongan bagi memberi kemudahan kepada perdagangan rentas sempadan serta pelaburan, dan ini akan mewujudkan laluan yang mantap kearah pemulihan dan pertumbuhan ekonomi serantau,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap secara maya di Ekspo China-ASEAN (CAEXPO) ke-18 dan Sidang Kemuncak Pelaburan Perniagaan China-ASEAN (CABIS) ASEAN yang berlangsung di Nanning, China.

“Gelembung pelancongan adalah satu daripada tiga faktor utama yang diketengahkan oleh Ismail Sabri di forum itu untuk menjadi asas kepada masa depan hubungan ASEAN-China, dan dalam memudahkan pemulihan ekonomi kesan impak COVID-19.

“Sementara itu Ismail Sabri berkata China amat penting kepada ASEAN, terutama sebagai negara rakan yang terawal menawarkan bantuan semasa pandemik,” ujarnya. – Bernama

Pemandangan waktu malam pusat bandar Kuala Lumpur dengan menara KLCC pada 31 Ogos lalu. Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mencadangkan ‘gelembung pelancongan’ dan peraturan kuarantin boleh diteroka antara ASEAN dan China bagi memulihkan industri pelancongan. – AP