Tuesday, January 21, 2025
23.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Gelembung perjalanan diiringi pelukan, tangisan

    QUEENSTOWN, NEW ZEALAND, 19 APRIL – Keluarga-keluarga bersatu dalam suasana penuh emosi hari ini ketika Australia dan New Zealand melancarkan gelembung perjalanan bebas kuarantin yang membuka sempadan hampir 400 hari selepas pandemik memaksa penutupan.

    Sambutan meriah itu diiringi dengan pelukan di terminal lapangan terbang di kedua-dua belah pihak Laut Tasman ketika gelembung perjalanan yang lama dinantikan mencetuskan kegembiraan dan kelegaan.

    Loraaine Wratt, seorang warga New Zealand yang terkandas oleh pandemik semasa mengunjungi keluarganya di Australia memberitahu AFP bahawa dapat membuat perjalanan itu sangat ‘menyeronokkan’.

    “Kami tiba di Australia pada 11 Disember untuk meraikan Krismas bersama anak-anak kami…merancang balik pada Februari namun disebabkan pandemik kami terkandas dan ia umpama mimpi buruk,” katanya.

    Di benteng tapak landasan Lapangan Terbang Wellington, perkataan ‘Selamat Datang Whanau (keluarga) tertera dalam huruf besar dengan penari Maori membuat persembahan tradisional BAGI mengalu-alukan pengunjung di terminal itu.

    Ahli keluarga bersatu semula ketika tiba dalam penerbangan pertama dari Sydney di Wellington pada 19 April ketika Australia dan New Zealand membuka gelembung perjalanan bebas kuarantin trans-Tasman. – AFP

    Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Ardern berkata suasana penuh kegembiraan itu seperti sebuah drama.

    “Ia mirip seperti filem Love Actually..,” katanya, merujuk kepada filem komedi romantik Britain 2003.

    Ardern berkata beliau berkongsi kegembiraan itu dan bersedia untuk mengalu-alukan beberapa orang tersayang balik ke sana.

    Gelembung perjalanan susulan rundingan berbulan-bulan lamanya antara beberapa buah negara jiran yang bebas koronavirus telah dipuji sebagai peristiwa besar dalam memulakan industri perjalanan global yang telah dilumpuhkan oleh pandemik COVID-19.

    Pengaturan itu bermakna buat pertama kali sejak COVID-19 menutup sempadan seluruh dunia, para penumpang boleh terbang antara Australia dan New Zealand tanpa perlu menjalani kuarantin mandatori semasa tiba.

    “Kami berharap lebih banyak gelembung perjalanan akan diadakan di seluruh rantau apabila ia selamat untuk dilakukan sebagai sebahagian usaha untuk memulakan perjalanan udara antarabangsa,” kata naib presiden Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa Asia Pasifik, Conrad Clifford.

    Australia merupakan sumber pelancong antarabangsa terbesar New Zealand sebelum pandemik, kira-kira 1.5 juta ketibaan atau 40 peratus pengunjung keseluruhan pada 2019.

    Namun hari pertama gelembung perjalanan itu, kebanyakan pengunjung adalah warga New Zealand yang pulang, dengan para pelancong dijangka akan mula tiba dalam jumlah besar semasa cuti sekolah Australia tidak lama lagi. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda