Gelembung perjalanan NZ, Cook Islands mula 17 Mei

WELLINGTON, 3 MEI – New Zealand akan membuka gelembung perjalanan dengan Cook Islands bulan ini, mengadaptasi pengaturan perjalanan bebas kuarantin serupa dengan yang sudah dilaksanakan bersama Australia, kata Perdana Menteri Jacinda Ardern.

Ardern berkata gelembung bersama negeri pulau Pasifik Selatan yang mempunyai 20,000 penduduk itu akan dibuka pada 17 Mei dan pada awalnya melibatkan sekitar tiga penerbangan seminggu.

“Perjalanan bebas kuarantin dua hala itu adalah langkah penting bagi pemulihan COVID-19 kedua-dua buah negara dan keputusan langsung bagi tindakan berjaya New Zealand dan Cook Islands,” katanya.

Cook Island yang terpencil merupakan salah satu daripada beberapa lokasi di dunia yang kekal bebas koronavirus manakala New Zealand berjaya membendung jangkitan komuniti dan mencatatkan hanya 25 kematian daripada 5 juta penduduknya.

Cook Islands yang memerintah sendiri dalam ‘persatuan bebas’ bersama New Zealand, bermaksud walaupun ia mentadbir sendiri hal ehwalnya, penduduk Cook Islanders adalah kedua-duanya warga New Zealand dan Cook Islands.

Ini menyebabkan, lebih ramai ekspatriat Cook Islands menetap di New Zealand daripada di pulau itu.

“Gelembung itu bermaksud keluarga-keluarga boleh bersatu kembali, pengaturan komersial boleh diteruskan semula dan penduduk Kiwi boleh mengambil cuti dan menyokong pemulihan sektor pelancongan Cook Islands.”

Pemimpin pembangkang New Zealand Judith Collins berkata Wellington kini boleh mengutamakan pembukaan gelembung perjalanan bersama Tonga dan Samoa, dua negara kepulauan Pasifik yang tidak ada mengesan kes komuniti COVID-19. – AFP