Gelombang haba landa Perancis, Eropah

PARIS, 23 JULAI – Perancis dan barat Eropah hari ini mengalami gelombang haba cecah rekod baharu yang memaksa penutupan sementara stesen jana kuasa nuklear Perancis dan akan menguji para pesaing dalam perlumbaan basikal Tour de France.

Peramal Kaji Cuaca meramalkan suhu baharu tinggi di beberapa buah negara, termasuk Belgium, Luxembourg dan Netherlands, di mana merkuri dikatakan mencecah 40 darjah Celsius buat pertama kali pada Khamis.

Pada hari yang sama juga menyaksikan suhu paling tinggi direkodkan bagi bandar Perancis – 40.4 darjah Celsius pada 1947 – juga ditewaskan.

Syarikat tenaga Perancis, EDF berkata ia akan menutup sementara dua reaktor di loji tenaga nuklear Golftech minggu ini di selatan Wilayah Tarn-et-Garonne, dalam usaha untuk mengehadkan pemanasan air yang digunakan untuk mengekalkan reaktor itu sejuk.

Reaktor nombor dua akan ditutup malam ini dan nombor satu pada esok (Rabu) dengan kedua-duanya akan kekal ditutup sehingga 30 Julai.

Pengunjung menyejukkan diri di Air Pancut Trocadero di Paris pada 22 Julai. – AFP

Perancis berusaha meningkatkan bekalan bagi peningkatan dalam penggunaan elektrik minggu ini, namun lembaga elektrik kebangsaan berkata kelmarin bahawa bekalan itu mencukupi.

Pihak berkuasa di sekitar Eropah juga mengeluarkan amaran kesihatan, menggalakkan warga emas atau mereka yang mudah terdedah untuk sentiasa berjaga-jaga.

Di Britain – di mana suhu boleh mencecah rekod tertinggi 38.5 darjah Celsius pada Khamis – pesakit asma diberi amaran tentang paras tinggi pencemaran dan cuaca lembap serta panas.

“Ia akan membahayakan 5.4 juta orang di United Kingdom yang menderita asma, mencetuskan serangan asma yang membawa maut,” kata Andy Whittamore, ketua klinikal di badan kebajikan Asthma UK.

Di Netherlands – di mana hampir seluruh negara menerima amaran ‘kod jingga’ hari ini – kerajaan telah mengaktifkan ‘pelan kepanasan kebangsaan’, mengeluarkan makluman bagi hospital, rumah-rumah orang tua dan malah pesakit obes. – AFP