Gelombang kedua koronavirus mungkin lebih teruk

WASHINGTON, 22 APRIL – Gelombang kedua COVID-19 di Amerika Syarikat (AS) dijangka lebih dahsyat memandangkan ia turut bertembung dengan musim influenza, menurut salah seorang pegawai tertinggi kesihatan semalam.

Pengarah Pusat Kawalan dan Pencegahan (CDC), Robert Redfield, berkata rakyat Amerika perlu memanfaatkan beberapa bulan ini bagi melakukan persediaan dan memastikan mereka mendapatkan vaksin influenza.

“Terdapat kemungkinan serangan virus ini berlaku pada musim sejuk dan ia akan menyebabkan keadaan menjadi lebih sukar berbanding yang dilalui ketika ini.

“Kita bakal berdepan dengan epidemik influenza dan koronavirus serentak,” katanya.

AS mencatatkan lebih daripada 800,000 kes positif COVID-19 sejak bermulanya pandemik itu.

Menurut statistik oleh Universiti John Hopkins, kematian di AS telah mencecah 44,845 orang.

Redfield berkata, sekiranya kes berkaitan kedua-dua penyakit ini memuncak pada tempoh yang sama, ia akan memberi impak sangat besar dan sukar kepada pengendali sistem kesihatan untuk mengawalnya. – AFP