Gelombang ketiga jejas Krismas di Korea Selatan

SEOUL, 25 DIS – Korea Selatan melaporkan jumlah kes COVID-19 tertinggi hari ini dengan 1,221 jangkitan baharu ketika sambutan Krismas di negara itu dijejaskan gelombang ketiga virus yang teruk.

Negara itu sebelum ini dipuji sebagai model memerangi koronavirus, dengan kebanyakan orang ramai mematuhi panduan rasmi yang diarahkan kerajaan.

“Kami amat mengesyorkan dan meminta orang ramai membatalkan semua pertemuan dan perjumpaan meskipun dengan ahli keluarga terdekat,” kata Yoon Tae-ho dari Ibu Pejabat Pengurusan Bencana Pusat.

Kes jangkitan terbaharu, 70 peratus daripadanya adalah dari wilayah Seoul yang menempatkan separuh daripada 52 juta penduduk negara itu. Bagi membendung peningkatan jangkitan, mulai Rabu lalu, pegawai telah pun melarang perhimpunan sosial lebih daripada empat orang di wilayah Seoul sehingga 3 Januari.

Bagi mas Krismas, gereja negara itu beralih ke upacara dalam talian atau mengadakan perhimpunan dalam skala kecil, manakala kawasan peranginan ski dan taman kebangsaan ditutup di seluruh negara.

Pastor memakai penutup mulut dan hidung duduk di kerusi kosong ketika upacara Krismas dalam talian di Gereja Full Gospel Yoido, Seoul. Krismas di Seoul terjejas akibat pandemik dengan peningkatan ketara lebih 1,000 kes dicatatkan pada hari Krismas. – AFP

Di Gereja Full Gospel Yoido di Seoul, sebuah dari gereja Protestan terbesar di negara itu, hanya 15 orang kakitangan, ahli koir dan seorang pastor – semuanya memakai penutup mulut dan hidung menghadiri mas Krismas yang disiarkan online.

“Lazimnya gereja kami dapat menampung sehingga 12,000 orang,” kata Park Jae-woo, seorang ahli gereja kepada AFP, menggambarkan tidak dapat meraikannya bersama orang lain sebagai ‘menyedihkan.’

Namun kami memahami sepenuhnya peraturan penjarakan fizikal yang diperlukan untuk melindungi nyawa, tambahnya.

Korea Selatan telah memperluas program saringan besar-besaran – menyediakan ujian secara percuma di wilayah Seoul hingga 3 Januari – dan lebih 118,000 ujian dilakukan pada hari Khamis sahaja, kata pihak berkuasa.

Kes baharu COVID-19 muncul dari berbagai-bagai tempat dan masyarakat dalam beberapa minggu terakhir, termasuk kemudahan perawatan jangka panjang, penjara, unit tentera, gereja dan sekolah, sementara hospital di daerah ibu kota mengalami masalah kekurangan tempat tidur unit rawatan rapi (ICU). – AFP