MADRID, 27 JUN – Satu kebakaran hutan di Sepanyol menjadi tidak terkawal hari ini di tengah gelombang haba di seluruh Eropah, memusnahkan ladang meskipun usaha beratus anggota bomba untuk bekerja sepanjang malam, kata pihak berkuasa tempatan.
Kebakaran meletus pada petang semalam di Torre del Espanol di rantau barat laut Catalonia dan pada hari ini ia telah memusnahkan lebih daripada 4,000 hektar ladang, kata menteri dalam negeri rantau Miquel Buch.
“Kesukaran yang dihadapi adalah kami tidak dapat bercakap mengenai satu kebakaran yang terkawal atau fasa pemadaman, tetapi kami berada pada tahap apabila kebakaran menjadi semakin besar,” beritahunya kepada radio Catalan.
Dalam satu kenyataan, kerajaan serantau Catalonia mengingatkan api mungkin memusnahkan 20,000 hektar dalam apa yang dilihat sebagai satu ‘risiko amat besar.’
Api merebak dengan cepat disebabkan angin kuat dan suhu meningkat.
Buch berkata ia mungkin berpunca daripada ‘baja asli yang terkumpul di sebuah ladang yang menghasilkan kepanasan yang cukup untuk mengeluarkan percikan.’
Setakat ini, 30 orang telah dipindahkan dari rumah mereka, kata kerajaan serantau, tatkala pesawat udara yang menggugurkan air membantu anggota bomba di darat.
Kebakaran meletus tatkala sebahagian besar Eropah dibelenggu gelombang haba yang amat teruk. – AFP