Gema Dikir Maulud Nabi bermula

Oleh Siti Nur Wasimah S., Ak Zaki Kasharan, Yusrin Junaidi, Sahama, Nurdiyanah R. & Daniel Lim

Gambar oleh Muiz Matdani, Ak Zaki Kasharan, Yusrin Junaidi, Nurdiyanah R. & Daniel Lim

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 Nov – Bersempena memperingati Hari Keputeraan Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW yang disambut pada setiap Rabiulawal setiap tahun, semua masjid, surau dan balai ibadat di seluruh negara akan terus bergema dengan Dikir Maulud Nabi Muhammad SAW selama 12 malam berturut-turut mulai malam ini.

Majlis Pembukaan Dikir Maulud Nabi Muhammad SAW selama 12 malam berturut-turut telah diadakan di Masjid Omar ‘Ali Saifuddien yang sekali gus menandakan bermulanya pembukaan Dikir Syarafil Anam di kesemua masjid, surau dan balai ibadat seluruh negara bagi tahun 1440H/2018M.

Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis tersebut ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman.

Turut hadir Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar.

Majlis berkenaan telah diisikan dengan ceramah mengenai Dikir Syarafil Anam disampaikan oleh penceramah khas, Haji Abdul Rahman bin Haji Ajak.

Yang Berhormat Pehin Ustaz Haji Awang Badaruddin ketika memimpin dan memulakan bacaan Surah Al-Fatihah pada Majlis Pembukaan Dikir Maulud Nabi Muhammad SAW di Masjid Omar ‘Ali Saifuddien, kelmarin.
Lebih 100 orang menghadiri majlis pembukaan dikir di Masjid RPN Kampung Pandan, Kuala Belait dimulakan dengan sembahyang Fardu Maghrib berjemaah.
Kementerian Pertahanan dan ABDB turut memulakan Majlis Sambutan Dikir Maulud bagi 12 malam berturut-turut, kelmarin.
Dato Paduka Seri Haji Mohd Jammy ketika hadir pada Majlis Pembukaan Dikir Syarafil Anam di Surau Ibu Pejabat Polis Gadong.
Yang Berhormat Pengiran Haji Ali ketika menyertai penduduk kampung semasa majlis berdikir di Masjid Masjid Suri Seri Begawan Raja Pengiran Anak Damit (SSBRPAD), kelmarin.

Pada majlis itu, Dikir Assalamualaika telah dibawakan oleh Kumpulan Dikir Masjid Omar ‘Ali Saifuddien; Dikir Khairuman Sambas oleh Kumpulan Dikir Kampung Belimbing dan Kumpulan Dikir Subok; Dikir Tanaqal Indara oleh Kumpulan Dikir Perangkap, Kampung Burong Pingai Berakas; Dikir Badat Kopi oleh Kumpulan Dikir Basmida, manakala itu, Dikir Ashraqal pula dibawakan oleh warga Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU).

Majlis Ihya Maulidur Rasul seumpama ini akan diadakan di seluruh negara dengan berkunjung ke Daerah Temburong di Masjid Utama Mohd Salleh, Pekan Bangar pada 10 November selepas Sembahyang Fardu Maghrib berjemaah.

Majlis diadakan sebagai salah satu syiar Islam untuk memakmurkan masjid, selain mengingati Hari Keputeraan Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, di samping dapat mengeratkan lagi hubungan silaturahim dalam kalangan pegawai dan kakitangan KHEU dengan jemaah masjid dan penduduk kampung.

Pasukan Polis Diraja Brunei (PDB) melalui Badan Ugama Islam (BUI) juga tidak ketinggalan memulakan acara Maulidul Rasul dengan Majlis Pembukaan Dikir Syarafil Anam di Surau Ibu Pejabat Polis Gadong.

Hadir selaku tetamu kehormat ialah Pesuruhjaya Polis, Dato Paduka Seri Haji Mohd Jammy bin Haji Muhd Shah Al-Islam. Juga hadir ialah Timbalan Pesuruhjaya Polis, Dato Seri Pahlawan Haji Mohammad Irwan bin Haji Hambali, para pengarah jabatan, pegawai kanan, pegawai dan anggota PDB.

Kementerian Pertahanan dan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) turut memulakan majlis sambutan Dikir Maulud di Bolkiah Garison di mana hadir selaku tetamu kehormat majlis tersebut ialah Ketua Unit Inspektorat, Kapten Pengiran Mohammad bin Pengiran Haji Damit, TLDB.

Turut hadir ialah pegawai-pegawai kanan, pegawai dan kakitangan Kementerian Pertahanan dan ABDB.

Menurut kenyataan yang diberikan Kementerian Pertahanan, Sambutan Dikir Maulud ini diadakan di surau-surau di seluruh perkhemahan tentera ABDB termasuk Surau Ad-Difa’ di Kementerian Pertahanan sempena memperingati Hari Keputeraan Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW.

Sementara itu, lebih 100 orang ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Masjid Suri Seri Begawan Raja Pengiran Anak Damit (SSBRPAD) dan penduduk kampung, pegawai dan kakitangan Jabatan Kastam dan Eksais Diraja serta kumpulan dikir Masjid SSBRPAD pula telah menghadiri  Majlis Dikir di masjid berkenaan.

Hadir pada majlis tersebut ialah ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Pengiran Haji Ali bin Pengiran Maon dan Pemangku Penolong Pengawal Kastam, Haji Asmayuddin bin Haji Abdul Hamid.

Turut mengadakan majlis serupa adalah Takmir Masjid Setia Ali, Pekan Muara yang turut dihadiri oleh ahli Majlis Mesyuarat Negara Zon 2 selaku Ketua Kampung Masjid Lama, Pekan Muara, Sabun dan Pelumpong, Yang Berhormat Pengiran Haji Mohamed bin Pengiran Haji Osman @ Othman; Penghulu Mukim Serasa,  Mejar (B) Haji Johari bin Haji Abdul Razak, ahli jawatakuasa takmir masjid, Muslimah, belia dan beliawanis, para jemaah masjid berkenaan dan penduduk sekitarnya.

Di Daerah Tutong,  Majlis Pembukaan Dikir Maulud Nabi Muhammad SAW tertumpu di Masjid Pengiran Anak Haji Mohamed Alam (PAHMA), Kampung Sengkarai. Hadir mengetuai majlis berkenaan ialah Pegawai Hal Ehwal Masjid, Daerah Tutong, Haji Masri bin Haji Mohammad.

Manakala itu, di Daerah Belait, lebih 100 orang menghadiri majlis pembukaan dikir di Masjid RPN Kampung Pandan, Kuala Belait, di mana hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Pemangku Pegawai Daerah Belait, Awang Ridzuan bin Haji Ahmad.

Majlis dihadiri oleh para pegawai dan kakitangan dari pelbagai jabatan kerajaan, ahli-ahli jawatankuasa sambutan, para penghulu mukim dan ketua-ketua kampung, perwakilan daripada syarikat-syarikat swasta, ahli-ahli jawatankuasa takmir masjid dan penduduk sekitarnya.

Turut hadir ialah Ketua Pegawai Ugama Daerah Belait, Haji Asminan bin Haji Chuchu serta perwakilan daripada Angkatan Bersenjata Diraja Brunei.