Gema Dikir semarakkan malam Maulidur Rasul

Bulan Rabiulawal mencatatkan sejarah dan peristiwa yang sangat penting bagi umat Islam di seluruh dunia kerana pada bulan ini lahirnya semulia-mulia insan, seagung-agung manusia yang memiliki darjat yang tinggi di sisi Allah SWT iaitu junjungan besar Nabi Muhammad SAW.

Saban tahun, pada 12 Rabiulawal, umat Islam seluruh dunia akan menyambut Maulidur Rasul, iaitu hari istimewa untuk mengingati detik kelahiran dan perjuangan junjungan besar kita Rasulullah SAW dalam mengharungi liku-liku kehidupan dalam menyebarkan dakwah Islam. Saat-saat inilah sekali gus mendidik diri umat Islam untuk sentiasa membasahkan bibir dengan bacaan selawat ke atas insan terulung pesuruh Ilahi.

Dikir Maulud 12 Malam

Meskipun cabaran pandemik COVID-19 masih melanda, namun keindahan gema Dikir Maulud tetap terus mewarnai tanah air kita di semua masjid, surau dan balai ibadat di seluruh negara selama 12 malam berturut-turut yang mana diungkayahkan oleh para petugas pegawai masjid.

Turut menyemarakkan juga detik-detik menuju 12 Rabiulawal itu juga laungan Majlis Pembukaan Dikir Maulud di semua saluran televisyen, dan juga di corong-corong rangkaian radio Nasional, Nur Islam dan Harmoni FM, Radio Televisyen Brunei bagi memeriahkan lagi hari kebesaran Islam.

Begitu juga, alangkah indahnya seluruh masyarakat Islam di negara ini untuk turut berusaha meraih ganjaran pahala dengan sentiasa mendidik diri dan jiwa untuk memperbanyakkan selawat dan berzikir bersama ahli keluarga di rumah-rumah persendirian bagi mendapatkan keberkatan dan rahmat daripada Allah SWT.

Gambar semasa Majlis Pembukaan Dikir Maulud Nabi Muhammad SAW selama 12 malam berturut-turut yang diadakan di Masjid Omar Ali Saifuddien pada tahun lalu. – Gambar fail
Umat Islam dituntut untuk sentiasa mencontohi sifat-sifat dan akhlak yang ada pada diri Rasulullah SAW iaitu sentiasa jujur (siddiq), amanah, menyampaikan benar (tabligh), bijaksana (fatanah) dalam segala urusannya.

Di samping, menyemarakkan keindahan malam-malam berkenaan untuk memupuk kesedaran dan keinsafan kita bersama dalam mengenang jasa dan pengorbanan Baginda Rasulullah SAW dalam menyebarkan ajaran Islam serta memohon ganjaran dan syafaat bagi orang-orang yang berselawat ke atas Baginda.

Lafazkanlah, gemakan selawat

Insan agung utusan Allah SWT, Nabi Muhammad SAW yang diutus menjadi nabi dan rasul untuk menyampaikan ajaran Allah bukan hanya untuk satu golongan atau bangsa tertentu sahaja, tetapi untuk kesejahteraan seluruh alam.

Itu adalah nikmat kurnia Allah SWT kepada umat manusia sepanjang zaman dan untuk mensyukuri nikmat Allah itu, sewajarnya memperingati hari kelahiran Baginda pada setiap masa dan ketika dengan memperbanyakkan membaca selawat sebagai bukti atau tanda kita mencintai Baginda.

Selawat sunat untuk dilafazkan pada bila-bila masa sahaja, tanpa mengira masa atau waktu dan ini bermakna selawat bukan hanya dilafazkan pada waktu-waktu tertentu seperti bulan Rabiulawal atau bulan kelahiran Baginda saja tetapi selawat itu memang cukup mudah untuk dilafazkan dan tidak mengambil masa yang lama untuk melakukannya.

Ucapan selawat yang pendek, Allahumma Salli ‘ala Muhammad Wa ‘ala Ali Muhammad di mana ucapan selawat adalah satu amalan mulia, yang pasti mendapat ganjaran daripada Allah SWT.

Oleh itu, apabila nama Nabi Muhammad SAW disebut, hendaklah menjawab atau mengucapkan selawat ke atas Baginda.

Terdapat banyak kelebihan dan keutamaan yang boleh diperoleh daripada amalan berselawat ke atas Baginda Rasulullah SAW.

Antaranya, mendapat rahmat daripada Allah SWT, mendapat kebaikan, dihapuskan dosanya dan diangkat darjatnya, mendapat syafaat Nabi Muhammad SAW pada hari kiamat kelak, menjauhi kerugian, penyesalan dan akan tergolong ke dalam golongan orang-orang yang soleh.

Selain itu, dengan berselawat ke atas Baginda juga akan memperoleh pahala seperti memerdekakan hamba dan Allah akan melapangkan dadanya dan menerangkan hatinya, dengan berselawat itu akan menjadi sedekah orang yang tidak mampu bersedekah, selawat menyebabkan doa seseorang itu diterima oleh Allah dan melepaskan diri dari keresahan dan kesusahan pada hari kiamat.

Hakikatnya, alangkah ruginya jika kita masih lalai dan leka daripada memperbanyakkan selawat dan jadikanlah selawat itu sebagai zikir dan amalan harian.

Bimbing diri dengan akhlak Rasulullah

Dalam meniti kehidupan yang sementara ini, mencontohi akhlak Rasulullah SAW secara sempurna memang sukar kerana Baginda digambarkan sebagai insan kamil (manusia sempurna) yang tidak ada bandingnya.

Namun demikian, bukan bererti mustahil untuk mencontohi Baginda kerana umat Islam dituntut berusaha tanpa mengira apa pun hasilnya dalam setiap tindak-tanduk perbuatan seharian.

Hal ini kerana keperibadian Baginda adalah sifat yang terbaik dan meliputi setiap aspek kehidupan.

Rasulullah SAW adalah ‘Uswatun Hasanah’ iaitu contoh ikutan yang baik dalam semua aspek kehidupan seperti dari sudut ketaatan dan keimanan kepada Allah, kemasyarakatan dan pergaulan, akhlak dan sifat-sifat mulia, siasah pentadbiran dan sebagainya.

Oleh yang demikian, umat Islam dituntut untuk sentiasa mencontohi sifat-sifat dan akhlak yang ada pada diri Rasulullah SAW iaitu sentiasa jujur (siddiq), amanah, menyampaikan benar (tabligh), bijaksana (fatanah) dalam segala urusannya.

Sifat-sifat ini sepatutnya menjadi pakaian umat Islam demi meraih keberkatan hidup di dunia dan di akhirat.

Kita juga diseru untuk menjaga amanah yang diberikan oleh Allah SWT yang mana amanah apa pun yang diberikan adalah wajib dilakukan sesuai dengan apa yang dikehendaki oleh pemberi amanah tersebut.

Umat Islam juga digalakkan untuk mengamalkan sifat jujur dalam kehidupan seharian kerana sifat jujur itu merupakan sifat yang mulia namun memerlukan pengorbanan untuk diwujudkan.

Dengan kata lain, kita hendaklah mengamalkan sifat-sifat ini dalam kehidupan seharian serta sentiasa menjauhkan diri daripada sifat mazmumah seperti bercakap bohong, berbuat khianat dan mungkir janji kerana sifat tersebut adalah ciri-ciri orang munafik.

Selain itu, antara sifat terpuji yang telah ditunjukkan Rasulullah SAW yang patut dicontohi dan diteladani ialah Baginda juga seorang yang penyayang, sentiasa berbuat baik, menjaga rahsia, berlemah lembut, pemalu, pemaaf, menyeru kepada kebaikan mencegah kemungkaran, adil, ikhlas, berbaik sangka, qanaah iaitu berasa cukup, menjaga hubungan persaudaraan dan sebagainya.

Dengan kedatangan hari memperingati junjungan besar kita Nabi Muhammad SAW yang disambut saban tahun ini memberi 1001 makna buat umat Islam dalam menjalani kehidupan sebagai hambaNya yang beriman dan beramal soleh.

Semoga keindahan Maulidur Rasul ini juga dapat menambahkan lagi kecintaan dan penghayatan kita umat Islam kepada kesucian agama Islam sekali gus mendidik diri untuk sentiasa berpegang kepada prinsip amar makruf nahi mungkar iaitu mengajak kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran.

Jika setiap jati diri individu Muslim sentiasa diwarnai dengan nilai-nilai murni, sudah setentunya rahmat Allah SWT akan sentiasa menyinari kehidupan berkeluarga, bermasyarakat dan juga bernegara.