Saturday, August 13, 2022
24 C
Brunei

Gembira kembali ke sekolah

-

Oleh Ak Zaki Kasharan & Daniel Lim
Gambar oleh Muiz Matdani & Daniel Lim

BANDAR SERI BEGAWAN/BELAIT, 16 MEI – Institusi pendidikan di seluruh negara mengalu-alukan semua pelajar tanpa mengira status vaksinasi mereka pada Sabtu lalu, bertepatan dengan permulaan penggal kedua persekolahan.

Perasaan teruja bercampur gemuruh jelas terpancar di wajah murid-murid serta ibu bapa dan penjaga mereka semasa tinjauan media pada hari pertama pembukaan sesi persekolahan secara bersemuka.

Salah seorang murid di Sekolah Rendah Sengkurong, Awang Hammad Darwisy Haikal bin Haji Mohd Jaya yang menuntut dalam Tahun 6 Attentive, melahirkan perasaan gembira apabila dapat kembali ke sekolah dan berjumpa kawan-kawan seperti sebelumnya.

Menurutnya, menghadiri kelas secara bersemuka lebih disukainya berbanding belajar secara dalam talian.

Bukan murid-murid sahaja yang gembira dengan kembalinya pembelajaran secara bersemuka, ibu bapa turut menyuarakan kegembiraan.

Murid-murid Sekolah Rendah Sengkurong kelihatan gembira memulakan pembelajaran secara bersemuka di dalam kelas.
Murid-murid dimestikan menjalani saringan menggunakan kit ART sebelum memasuki kelas.
Awang Hammad Darwisy Haikal melahirkan perasaan gembira apabila dapat kembali ke sekolah dan berjumpa kawan-kawan seperti sebelumnya.
Awang Ahmad ‘Aliyuddin @ Abdul Aziz berharap agar segala sesi pembelajaran dapat berjalan dengan lancar.
Awang Nurul Zulfadhli mengongsikan persediaan sekolah yang dilakukan untuk anaknya menje- lang pembukaan persekolahan secara bersemuka.
Murid-murid Sekolah Rendah Muhammad Alam diajar membuat saringan menggunakan ART sebelum memulakan pembelajaran secara bersemuka.

Awang Nurul Zulfadhli bin Haji Abdullah, bapa salah seorang murid di sekolah rendah tersebut ketika ditemui turut melahirkan perasaannya.

“Perasaan bercampur baur dapat dirasakan menjelangnya hari pertama sesi persekolahan secara bersemuka ini dimumkan dan pada masa yang sama, teruja menyaksikan anak saya menjalani sesi persekolahan, tambahan lagi anak saya sudah cukup bersemangat untuk bersekolah buat kali pertamanya,” ujarnya.

Beliau turut mengongsikan persediaan yang dilakukannya menjelang pembukaan persekolahan secara bersemuka di mana salah satunya dengan memberikan galakan kepada anaknya untuk menerima vaksinasi COVID-19 sebagai langkah berjaga-jaga.

Menurutnya lagi, antara kelebihan sesi persekolahan secara atas talian yang dijalankan sebelum ini, memandangkan anaknya baru menginjak ke alam persekolahan iaitu di peringkat pra sekolah, anaknya dapat mengenali guru dan kawan-kawan.

Oleh itu, tambah beliau, anaknya berasa begitu tenang dan teruja untuk ke sekolah pada hari tersebut.

Manakala itu, Awang Ahmad ‘Aliyuddin @ Abdul Aziz bin Haji Mat Dani yang menuntut di Maktab Duli Pengiran Muda Al-Muhtadee Billah (Maktab Duli) ketika ditemui Media Permata juga mengongsikan perasaan gembiranya apabila dapat berjumpa rakan-rakan sekelas dan belajar secara bersemuka.

“Selain daripada ilmu yang saya dapat terapkan, saya juga mementingkan erti persahabatan dan persaudaraan antara saya dan rakan sekelas, oleh itu dapat berjumpa dengan mereka membuatkan saya begitu gembira sekali,” ujarnya.

Beliau turut menyatakan harapannya agar segala sesi pembelajaran dapat berjalan dengan lancar dan semua terhindar daripada penyakit COVID.

Bapa seorang pelajar di Maktab Duli, Haji Mat Dani bin Haji Abu Bakar ketika ditemui menyenaraikan beberapa persiapan yang dilakukannya sebelum menghantar anak-anaknya ke sekolah.

Antara persediaan yang dilakukannya sekeluarga adalah dengan mengamalkan pembacaan doa dan zikir dalam setiap apa yang dilakukan.

Selain itu, beliau selaku ibu bapa turut bertanggungjawab untuk memastikan ahli keluarganya mengamalkan gaya hidup yang sihat.

Di samping itu, beliau turut memastikan agar anak-anaknya dapat mematuhi serta membaca prosedur operasi standard (SOP) dan garis panduan yang telah ditetapkan oleh pihak sekolah dan Kementerian Kesihatan bagi mengawal penularan wabak COVID dari semasa ke semasa.

Di Daerah Belait, Sekolah Rendah Muhammad Alam mengalu-alukan seramai 159 orang pelajar dari Tadika hingga Tahun 6 bagi penggal kedua persekolahan.

Selaras dengan garis panduan dan SOP yang ditetapkan, sekolah berkenaan melaksanakan pelbagai prosedur termasuk menyediakan kawasan untuk murid-murid serta ibu bapa dan penjaga menanti giliran membuat ujian pantas antigen (ART).

Pengetua sekolah berkenaan, Dayang Risrani binti Haji Abdul Halim ketika ditemui menjelaskan bahawa sekolah berkenaan juga melaksanakan beberapa aktiviti kelas untuk membantu murid-murid menyesuaikan diri kembali ke persekolahan pembelajaran dalam kelas.

Menurutnya lagi, guru-guru juga menyediakan aktiviti-aktiviti bagi murid kembali ke sekolah seperti sesi suai kenal bagi minggu pertama sekolah.

Salah seorang bapa, Awang Salim bin Haji Mohd Ali yang menemani anaknya pada hari pertama sekolah itu bersama isterinya, ketika ditemui berkata bahawa untuk mempersiapkan anaknya ke sekolah, keluarganya bersama-sama mengumpulkan keperluan sekolah yang membantu memberikan anaknya pemikiran untuk belajar ke sekolah.

Katanya lagi, beliau gembira anak lelakinya dapat belajar di sekolah secara fizikal kerana belajar di rumah agak sukar.

- Advertisment -

DISYORKAN UNTUK ANDA

DXY disekat kritik rawatan herba COVID

BEIJING, 11 OGOS – Sebuah laman web perubatan China yang popular telah ditapis oleh pihak berkuasa kerana 'melanggar undang-undang dan peraturan yang berkaitan', beberapa...
- Advertisment -