Saturday, December 7, 2024
26.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Gempa: 157 maut, usaha menyelamat dihentikan

    JAJARKOT, 5 NOV – Usaha mencari dan menyelamat selepas gempa bumi di Nepal berakhir hari ini apabila tumpuan beralih kepada memberi bantuan kepada mangsa yang terselamat yang menunggu makanan dan tempat tinggal, kata pegawai 36 jam selepas bencana itu berlaku.

    Sekurang-kurangnya 157 orang terbunuh di daerah terpencil barat negara Himalaya itu apabila gempa bumi berukuran 5.6 magnitud melanda lewat Jumaat.

    Ramai yang selamat kehilangan tempat tinggal dan menghabiskan malam di luar. Rumah-rumah mereka sudah musnah dan tinggal hanya timbunan serpihan batu.

    Beberapa orang maut di kampung Nalgad, di daerah Jajarkot yang paling terjejas, di mana Mahesh Chanare bersedia untuk membakar mayat bapa mertuanya hari ini.

    “Selebihnya keluarga saya selamat,” kata tukang paip berusia 34 tahun itu kepada AFP.

    Mangsa yang terselamat daripada gempa bumi berehat tanpa pelindung berhampiran rumah yang musnah di daerah Rukum kelmarin. – AFP

    “Namun rumah-rumah telah terkubur bersama dengan segala-galanya, hampir tidak ada makanan yang boleh dimakan,” tambahnya.

    “Tiada bahan bantuan sampai kepada kami. Orang di sini sangat memerlukan makanan dan khemah.”

    Secara keseluruhan 105 orang maut di Jajarkot dan 52 lagi di daerah Rukum yang berdekatan, kata pegawai, dengan lebih 100 cedera dan operasi mencari dan menyelamat telah ditamatkan.

    “Kami berhubung dengan semua kawasan dan operasi menyelamat telah selesai,” kata jurucakap polis wilayah, Gopal Chandra Bhattarai.

    “Namun kami masih berada dalam keadaan berjaga-jaga kerana ini adalah kawasan terpencil dan mungkin terdapat maklumat belum dapat diakses.”

    Harish Chandra Sharma, seorang pegawai daerah Jajarkot, berkata tumpuan kini adalah untuk memberi bantuan kepada mangsa.

    “Ia adalah malam yang sukar dan kami sedang berusaha untuk mendapatkan bahan bantuan kepada mereka yang terjejas oleh gempa bumi,” kata Sharma.

    “Ada yang telah diedarkan tetapi kita perlu sampai ke semua kawasan.” – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda