Gempa 5.9 magnitud gegar pulau Sumatera

JAKARTA, 2 NOV – Gempa bumi berukuran 5.9 magnitud dilaporkan di luar pesisir pulau Sumatera, Indonesia, semalam, menurut Jabatan Geologi Amerika Syarikat (USGS), namun tiada amaran tsunami atau laporan kerosakan segera dilaporkan.

Gempa di luar pesisir dengan kedalaman enam kilometer, kira-kira 255 kilometer selatan bandar Sinabang.

Gempa cetek lebih banyak mendatangkan kerosakan berbanding gegaran dalam.

Indonesia sering dilanda gempa di-sebabkan kedudukan negara itu yang berada di ‘Ring of Fire’ Pasifik.

Pada Januari, lebih 100 orang terbunuh dan ribuan terpaksa meninggalkan rumah selepas gempa berukuran 6.2 magnitud menggegarkan pulau Sulawesi, menyebabkan kerosakan terus terhadap bangunan di bandar Mamuju.

Gempa berukuran 7.5 magnitud dan disusuli dengan tsunami di Palu tiga tahun lalu menyebabkan lebih 4,300 orang terkorban atau hilang. – AFP