Gempa 7.3 magnitud landa Indonesia

JAKARTA, 24 JUN – Gempa bumi 7.3 magnitud melanda kawasan terpencil Indonesia timur hari ini, memaksa penduduk setempat melarikan diri dari bangunan pejabat sejauh yang mungkin, tatkala bandar Darwin di utara Australia turut merasai gegaran tersebut, menurut pegawai dan laporan yang diterima.

Kedalaman dan kekuatan gempa berkenaan mencetuskan kejutan penduduk di rantau ini, di mana para pelancong yang berada di pulau Bali dan juga di Timor Leste turut merasai gegaran tersebut.

Indonesia adalah pusat tsunami Asia pada tahun 2004 yang mengorbankan lebih daripada 170,000 orang tetapi Pusat Amaran Tsunami Pasifik mengatakan gempa bumi semalam itu terlalu dalam untuk mencetuskan gelombang yang merosakkan.

Agensi bencana Indonesia, yang mendesak orang untuk ‘tetap tenang’, berkata gegaran itu dirasakan lemah di Bali.

Gempa itu berlaku pada kedalaman 208 kilometer di selatan pulau Ambon di Laut Banda pada 11:53 waktu tempatan, menurut Peninjau Geologi Amerika Syarikat (USGS).

Tiada laporan korban atau sebarang kerosakan berlaku.

“Ia cukup memberi kesan kepada #Darwin, harap semua orang selamat,” kata biro meteorologi di Northern Territory Australia di Twitter. – AFP