Gempa Bali cetus panik, rosakkan bangunan

DENPASAR, 16 JULAI – Gempa bumi yang melanda pulau peranginan terkenal Bali hari ini, memaksa penduduk meninggalkan kediaman masing-masing dan menyebabkan berlaku kerosakan bangunan, menurut Jabatan Geologi Amerika Syarikat (USGS).

Gempa dengan kekuatan magnitud 5.7 itu berlaku pada 7.18 pagi (waktu tempatan) dan berpusat pada jarak 82.1 kilometer di selatan Denpasar, kata USGS.

Gegaran dapat dirasai sehingga ke Banyuwangi, bersebelahan pulau Jawa, pada kedalaman 91 kilometer, namun tiada amaran tsunami dikeluarkan setakat ini.

Lebih 38 buah rumah, sekolah, kuil dan pejabat rosak akibat gegaran itu.

Kebanyakannya berlaku di daerah Badung, dekat pusat pelancongan Kuta, menurut pihak berkuasa Bali.

Dua orang guru berjalan melintasi jubin yang jatuh dari bumbung rosak dari bangunan sekolah selepas gempa melanda kawasan di Jimbaran di pulau Bali, kelmarin. – AFP

Tiada sebarang kematian kecederaan dilaporkan setakat ini namun seorang cedera manakala sebuah hotel mengalami kerosakan kecil.

Salah seorang penduduk Bali berkongsi detik cemas kepada AFP.

“Saya sedang mengendong anak damit ketika gegaran berlaku, ia agak kuat, saya berlari keluar serta-merta dan melihat orang ramai sudah memenuhi jalan raya,” kata penduduk Denpasar, Komang Sudiani.

Gambar yang disebarkan agensi bencana Indonesia menunjukkan kerosakan berlaku di hadapan kedai dan kuil di pulau majoriti penduduknya beragama Hindu. – AFP