Gempa bumi 4.7 gegarkan China

BEIJING, 12 JULAI – Gempa bumi dengan kekuatan 4.7 pada skala Richter melanda bandar Tangshan, di utara China hari ini, yang mengingatkan kembali kejadian gempa 1976 yang dahsyat, menurut Jabatan Geologi Amerika Syarikat (USGS).

Gegaran itu berlaku pada jam 6:38 pagi tadi, dengan kejadian berpusat di daerah kediaman pinggir bandar di luar pusat bandar Tangshan, kira-kira 200 kilometer di sebelah timur Beijing. Pihak berkuasa seismologi China meletakkan magnitudnya pada 5.1 dan mengatakan ia berlaku pada kedalaman 10 kilometer.

Namun begitu tiada laporan kerosakan akibat gempa itu biarpun ia turut menggegarkan Beijing.

Laporan media agensi Xinhua berkata, penumpang kereta api melalui kawasan gempa digantung sementara menunggu pemeriksaan infrastruktur kereta api untuk sebarang kerosakan. Rakaman video yang dikongsikan di Twitter oleh sebuah agensi media China memaparkan barangan terjatuh dari rak di beberapa buah kedai di Tangshan.

“Saya masih rasa takut. Saya berusia 12 tahun ketika gempa di Tangshan pada 1976,” kata penyambut tetamu di Hotel Tangjiashanhe menerusi telefon kepada AFP.

Pada 28 Julai 1976, Tangshan yang kemudiannya menjadi bandar perlombongan arang batu dengan populasi sekitar sejuta penduduk, musnah akibat gempa pada kekuatan 7.8 dan gempa susulan 7.1 sekitar 15 jam kemudian. Kejadian itu menyebabkan 240,000 terbunuh biarpun dipercayai jumlah korban sepatutnya tidak didedahkan atas alasan politik. – AFP