SYDNEY, 22 Jan – Satu gempa bumi kuat dengan magnitud 7.9 melanda Papua New Guinea hari ini, menggegarkan rumah dan mencetuskan amaran tsunami, namun tidak adanya laporan kemalangan jiwa atau kerosakan besar.
Amaran tsunami untuk negara pulau Pasifik dan jirannya dibatalkan selepas itu. Gempa bumi melanda 40 kilometer dari barat Panguna di pulau Bougainville, Papua New Guinea pada kedalaman 153 kilometer pada pukul 3:30 petang waktu tempatan, kata Jabatan Geologi AS (USGS).
Tidak ada laporan kerosakan atau kecederaan telah diterima setakat ini, kata Balai Cerap Geofizikal PNG di ibu negara Port Moresby. “Namun kami tahu berdasarkan kedalaman sedemikian di mana gempa bumi berlaku, peluang berlakunya sebarang kerosakan atau kemalangan jiwa adalah tidak mungkin,” beritahu jurucakap Mathew Moihoi kepada AFP.
“Sekiranya terdapat mana-mana gangguan atau kerosakan besar, kami akan mendapat tahu sekarang,” kata beliau, menambah kawasan di mana gempa bumi melanda tidak mempunyai penduduk padat.
Penilaian awal USGS adalah kerosakan ringan hingga sederhana mungkin berlaku di pulau Bougainville. Gempa bumi diubah daripada magnitud 8.0 kepada 7.9. Pusat Amaran Tsunami Pasifik berkata ombak di antara 0.3 dan satu meter melebihi aras pasang surut mungkin dicatat di beberapa kawasan pantai PNG dan negara jiran Solomon Islands.
Pusat itu mengeluarkan satu kenyataan lain kira-kira satu jam kemudian untuk berkata ancaman telah pun berakhir. – AFP