Monday, January 20, 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Gempa bumi bantu pulihkan industri bata Nepal

    KATHMANDU – Di bawah langit, suasana gelap dan asap hitam tebal menyelubungi suasana. Manakala beratus-ratus ribu pekerja tanur bata menghadapi pekerjaan yang menyakitkan tulang belakang mereka dan terpaksa mengharungi cuaca panas di hampir zaman pertengahan di seluruh Asia Selatan.

    Tetapi di satu sudut di rantau ini, keperluan untuk membangun semula selepas gempa bumi Nepal yang begitu dahsyat pada tahun 2015 telah mempamerkan peluang yang tidak dijangka.

    Walaupun banyak usaha masih perlu dilakukan dalam memperbaiki keadaan pekerja, inisiatif alam sekitar telah berjaya mengurangkan pelepasan tanur bata dan usaha kini memfokuskan kepada pelancaran program di rantau ini, dengan implikasi yang signifikan dalam menangani perubahan iklim.

    Terdapat lebih daripada 150,000 tanur bata di India, Bangladesh, Pakistan dan Nepal yang mengeluarkan ribuan tan jelaga, dikenali sebagai karbon hitam, pencemar udara utama dan penyumbang kedua terbesar kepada pemanasan global selepas karbon dioksida.

    Kilang-kilang tersebut kini tersekat dalam era lampau. Para pekerja terpaksa mengharungi keadaan yang sangat panas dalam bentuk perhambaan zaman moden, di mana buruh terikat oleh tuan tanah dalam krisis hutang yang semakin meningkat.

    Terdapat lebih daripada 150,000 tanur bata di India, Bangladesh, Pakistan dan Nepal yang mengeluarkan ribuan tan jelaga, dikenali sebagai karbon hitam, pencemar udara utama dan penyumbang kedua terbesar kepada pemanasan global selepas karbon dioksida. – AFP
    Pemilik tanur batu bata tetap menentang terhadap campur tangan dari kumpulan hak asasi buruh, tetapi mereka melihat beberapa potensi apabila bekerjasama dengan ahli kempen alam sekitar. – AFP

    Buruh-buruh ini terperangkap di antara tuan-tuan tanah dan juga hutang dengan jumlah yang begitu banyak. Ianya meningkat naik apabila pekerja-pekerja meminjam wang untuk makanan, penjagaan perubatan, bahkan batu bata yang mereka gunakan untuk membina rumah di tepi tanur tersebut.

    Industri berkenaan telah hancur akibat daripada gempa bumi 7.8 magnitud yang melanda pada tahun 2015, membunuh kira-kira 9,000 orang dan menjejaskan kira-kira sepertiga tanur bata di negara itu.

    Di sebalik skala tragedi manusia, kemusnahan itu telah memberikan pencinta alam sekitar suatu peluang yang jarang berlaku untuk membersihkan sekurang-kurangnya satu bahagian kawasan perindustrian yang sungguh terkenal dengan kekotoran. Pemilik tanur batu bata tetap menentang terhadap campur tangan dari kumpulan hak asasi buruh, tetapi mereka melihat beberapa potensi apabila bekerjasama dengan ahli kempen alam sekitar.

    The Brick Kiln Initiative, dilancarkan oleh International Center for Integrated Mountain Development (ICIMOD), telah menemukan satu cara untuk mengubah reka bentuk ketuhar dan susunan batu bata secara berbeza untuk mengurangkan jelaga toksik yang dihasilkan.

    “Kami mahu melakukan tiga perkara: mengurangkan pengeluaran asap, meningkatkan kecekapan dan membina tanur batu bata tahan gempa,” kata Bidya Banmali Pradhan, penyelaras program inisiatif.

    Masalahnya adalah akut, dengan pelepasan jelaga industri dari rantau itu telah memberi impak ke seluruh dunia. Asia Selatan mempunyai pelepasan yang tertinggi di dunia, menurut kajian NASA. Jelaga berkumpul di kawasan ais Artik, mengurangkan keupayaan bumi untuk memantulkan sinaran matahari dan menyumbang kepada pemanasan global.

    Suhu yang melambung tinggi telah menjejaskan corak cuaca global dan telah mengganggu hujan monsun tahunan di Asia Selatan, dengan beberapa kawasan mengalami ancaman kemarau, sementara yang lain mengalami banjir besar.

    Pada tahun 2017, lebih daripada 1,200 orang telah mati di Asia Selatan dalam banjir monsun terburuk yang melanda rantau itu. Karbon hitam juga telah memburukkan lagi leburan glasier di Himalaya, yang telah menyusut hampir suku antara akhir tahun 1970-an dan 2010, menurut satu kajian.

    Dan pengeluaran jelaga dari tanur bata yang dijana oleh arang batu juga merupakan sumber utama kepada pencemaran yang berlaku di kebanyakkan bandar-bandar raya Asia Selatan, dengan mempunyai kualiti udara yang paling buruk di dunia.

    Pekerja warga Nepal kelihatan membawa bata di belakang mereka dari salah sebuah kilang bata Bhaktapur, pinggir Kathmandu. – AFP
    Dengan menyusun batu bata di dalam tanur dalam corak ‘zig-zag’ atau bengkang-bengkok, bahang hangat itu boleh melalui jurang yang lebih cekap, memastikan arang batu dibakar sepenuhnya. Manakala jelaga yang dihasilkan dapat dikurangkan. – AFP

    Dengan menyusun batu bata di dalam tanur dalam corak ‘zig-zag’ atau bengkang-bengkok, bahang hangat itu boleh melalui jurang yang lebih cekap, memastikan arang batu dibakar sepenuhnya. Manakala jelaga yang dihasilkan dapat dikurangkan.

    Pengeluaran asap boleh dikurangkan kepada 60 peratus. Tetapi apa yang lebih penting buat pemilik tanur bata, ia dapat mengurangkan penggunaan arang batu.

    “Faktor alam sekitar tidak semestinya memberi motivasi kepada kebanyakan pemilik tanur bata, tetapi kaedah ‘zig-zag’ mempunyai manfaat dari segi ekonomi. Kami kurang menggunakan arang batu dan menghasilkan batu bata yang lebih baik dan cepat,” kata Mahendra Chitrakar, presiden Persekutuan Industri Batu Bata Nepal.

    Kebanyakan 100 tanur batu bata di lembah Kathmandu telah menggunakan teknologi baharu, menurut Chitrakar.

    “Kami terpaksa membina semula, jadi kami fikir mengapa tidak membina struktur yang lebih saintifik dan mesra alam,” kata pemilik tanur bata, Raj Kumar Lakhemaru.

    “Sekarang tidak ada asap hitam. Batu bata kini lebih baik dan kurang menggunakan arang batu. Ia sungguh menguntungkan.”

    Langkah seterusnya adalah untuk memperluaskan teknologi tersebut. Namun pengeluar-pengeluar batu-bata dari Bangladesh, India, Nepal dan Pakistan akan membuat pertemuannya pada tahun ini bagi membincangkan reka bentuk baharu.

    Tetapi aktivis berkata, sementara persekitaran kini mendapat perubahan positif, keadaan pekerja tanur bata masih tidak berubah. Di pinggir Kathmandu, para pekerja kelihatan berkaki ayam ketika melakukan pekerjaan mereka, sambil mengangkat beban di belakang mereka.

    Kebanyakan mereka tinggal di pondok di sekitar kawasan kilang tersebut. Sebagai pekerja buruh, generasi pekerja yang akan datang secara literalnya dilahirkan ke dalam industri itu dan ramai yang mula bekerja sejak dari kanak-kanak lagi.

    Lebih daripada 200,000 pekerja tanur bata di Nepal dan 16 peratus daripadanya adalah kanak-kanak, menurut Better Brick Nepal, yang berkempen untuk keadaan yang lebih baik.

    “Kita perlu membersihkan industri batu bata ini, bukan hanya dari perspektif persekitaran tetapi juga manusia sejagat,” kata ketua badan amal, Homraj Acharya. Dan isu itu, beliau menambah, gempa bumi Nepal masih belum memecahkan atau merubah pembangkang keras iaitu pemilik kilang. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda