QUITO, ECUADOR, 19 MAC – Gempa bumi kuat menggegarkan selatan Ecuador dan utara Peru kelmarin, mengorbankan sekurang-kurangnya 15 orang, memerangkap yang lain di bawah runtuhan, dan mengerahkan pasukan penyelamat keluar ke jalan yang dipenuhi puing dan tiang elektrik yang tumbang.
Jabatan Geologi Amerika Syarikat melaporkan gempa bumi berukuran 6.8 magnitud itu berpusat tidak jauh dari Pantai Pasifik, kira-kira 80 kilometer selatan Guayaquil, bandar kedua terbesar di Ecuador.
Seorang daripada mangsa meninggal dunia di Peru, manakala 14 yang lain terkorban di Ecuador, di mana pihak berkuasa turut melaporkan bahawa sekurang-kurangnya 126 orang cedera.
Di Peru, gempa bumi dirasai dari sempadan utaranya dengan Ecuador hingga ke pantai Pasifik.
Perdana Menteri Peru, Alberto Otarola berkata seorang kanak-kanak perempuan berusia empat tahun maut akibat hentakan di kepala yang dialaminya ketika kediamannya runtuh di wilayah Tumbes, bersempadan dengan Ecuador.

Salah seorang mangsa di Azuay ialah penumpang dalam kenderaan yang dihempap runtuhan dari sebuah rumah di komuniti Andes di Cuenca, menurut Sekretariat Pengurusan
Risiko, agensi tindak balas kecemasan Ecuador.
Di El Oro, agensi itu juga melaporkan bahawa beberapa orang terperangkap di bawah runtuhan.
Dalam komuniti Machala, sebuah rumah dua tingkat runtuh sebelum orang ramai dipindahkan, tiang runtuh dan dinding bangunan retak, memerangkap beberapa jumlah orang di dalamnya.
Sementara itu, agensi turut berkata anggota bomba berusaha untuk menyelamatkan mangsa manakala polis negara menilai kerosakan, kerja mereka menjadi lebih sukar selepas talian terputus dan mengganggu perkhidmatan telefon dan elektrik. – AP