Gempa bumi gegar Itali

ROM, 9 DIS – Satu gempa bumi dengan magnitud 4.5 melanda kawasan tengah Itali Mugello hari ini, mendorong penduduk panik membanjiri jalan raya namun hanya mengakibat kerosakan kecil pada bangunan.

Gempa bumi itu, berpusat kira-kira 31 kilometer dari timur laut Florence di Tuscany, melanda pada pukul 4:37 pagi, selepas beberapa siri gempa lebih kecil, menurut institut negara untuk geofizik dan vulkanologi (INGV).

Penduduk melarikan diri dari bangunan mereka dalam hujan, berkumpul di luar atau dalam kereta mereka sementara menunggu arahan dari pihak berkuasa.

“Gempa bumi melanda untuk seketika, terutamanya yang pertama, barang-barang terjatuh di pasar raya tetapi untuk masa sekarang, kami belum melihat sebarang kerosakan harta benda atau kecederaan,” kata Filippo Carla’Campa, datuk bandar Vicchio.

Salah seorang penduduk Barberino del Mugello berkata jirannya berasa panik sambil bergegas berlari keluar dari bangunan.

“Lukisan jatuh dari dinding, rak buku juga jatuh,” beritahunya kepada Rai 24.

Di Barberino del Mugello, gereja abad ke-17 mengalami keretakan pada satu bahagian bangunan, gambar televisyen menunjukkan.

Sekolah ditutup di kawasan itu dan beberapa kereta api melalui Florence sama ada dibatalkan atau pun ditunda.

Itali sering dilanda aktiviti seismik, yang membawa maut. Terbaharu, beberapa siri gempa bumi kuat melanda tengah Itali pada akhir tahun 2016 dan awal 2017, membunuh 300 orang.

Pada 1919, kawasan itu dilanda gempa bumi yang membunuh 100 orang. – AFP