ISTANBUL, 8 Ogos – Sebuah kawasan pelancongan di barat laut Turki digegarkan dengan gempa bumi 5.3 magnitud hari ini, Jabatan Geologi Amerika Syarikat (USGS) mengatakan, namun pihak berkuasa tempatan tidak melaporkan sebarang mangsa atau kerosakan.
Gempa bumi berlaku 14km ke tenggara Bodrum, sebuah daripada kawasan peranginan paling sibuk di Aegean, Turki, pada kedalaman 10km, menurut USGS.
Beberapa penghuni melarikan diri dari kediaman mereka kerana bimbang bangunan runtuh, menurut NTV, sebuah rangkaian televisyen Turki.
Turki, terletak pada garisan seismik, sering kali dilanda gempa bumi. Pesisiran pantai Aegean sudah pun mengalami beberapa gempa bumi melebih 5 magnitud bermula awal tahun ini.
Dua bulan lalu, dua orang warga asing mati dan lebih 100 orang cedera di pulau Greek, Kos apabila gempa bumi menggegarkan destinasi popular Greek dan Turki di Lautan Aegean. – AFP