Gempa bumi gegar Tibet

LHASA, 10 MAC – Wilayah Autonomi Tibet, China hari ini dilanda tiga kali gempa bumi, satu daripadanya berkekuatan 5.0 pada skala Richter, bagaimanapun tiada kemalangan jiwa dilaporkan, lapor agensi berita Xinhua.

Gempa bermagnitud 5.0 itu dengan pusat gempa bumi pada 32.84 darjah utara dan 85.52 darjah timur, menggegar daerah Gerze di wilayah Ali pada pukul 2:12 pagi hari ini, menurut Pusat Rangkaian Gempa Bumi China.

Dua lagi gegaran berkekuatan 3.7 dan 3.4 pada skala Richter.

Timbalan Ketua Biro Hal Ehwal Awam, Sonam Daje, berkata siasatan awal mendapati tiada kecederaan dan kerosakan dilaporkan setakat 10 pagi hari ini.

Pusat gempa itu terletak di sekitar kampung di Gerze. Kebanyakan penduduk sedang tidur ketika kejadian.

Gerze adalah daerah terbesar di wilayah Ali, dikenali sebagai pusat industri peternakan. – Bernama