TAIPEI, 18 SEPT – Gempa bumi kuat melanda tenggara Taiwan hari ini, mengorbankan seorang, meruntuhkan bangunan-bangunan dan memusnahkan jalan raya – namun peramal kaji cuaca berkata ancaman tsunami serantau telah berlalu.
Gempa itu berlaku pada 2:44 petang kira-kira 50km dari utara bandar Taitung pada kedalaman 10 kilometer, menurut Jabatan Geologi Amerika Syarikat (USGS).
Kekuatan awalnya diberikan sekitar 7.2 skala Richter tetapi USGS kemudian menurunkannya kepada 6.9 magnitud. Beberapa kejutan lanjur turut direkodkan.
Agensi Meteorologi Jepun dan Pusat Amaran Tsunami Pasifik mengeluarkan amaran tsunami sejurus selepas gempa bumi, namun kedua-duanya menyatakan tiada lagi ancaman gelombang tinggi.
Agensi Bomba Kebangsaan wilayah itu mengatakan seorang individu terkorban akibat dihempap jentera di sebuah kilang simen di bandar Yuli, yang terletak dekat dengan pusat gempa.
Manakala Kementerian Kesihatan mengatakan 79 orang mendapatkan rawatan perubatan atau dihantar ke hospital.
Kira-kira tiga bangunan runtuh di bandar Yuli termasuk sebuah gedung menempatkan kedai serbaneka 7/11 di tingkat bawah.
Rakaman video yang disiarkan oleh Agensi Berita Pusat Taiwan menunjukkan penduduk panik berlari ke arah bangunan yang telah runtuh itu dan mencetuskan kepulan debu tebal.
Jabatan Bomba Hualien mengatakan empat orang terperangkap dalam bangunan tersebut telah diselamatkan.
Dua bangunan lain di bandar itu runtuh namun tidak ada orang di dalamnya, tambah jabatan itu lagi yang dua jambatan berdekatan runtuh manakala dua yang lain musnah.
Pentadbiran Kereta Api Taiwan (TRA) berkata sebuah kereta api tergelincir di stesen Dongli di Hualien selepas ia terlanggar konkrit dari kanopi atas yang longgar semasa gempa itu.
TRA berkata, 20 penumpang di dalamnya telah dipindahkan dan tiada kecederaan dilaporkan. – AFP