Gempa bumi kuat landa timur Indonesia

JAKARTA, 14 JULAI – Gempa bumi kuat berukuran 7.3 magnitud telah melanda pulau terpencil Maluku di timur Indonesia hari ini, mengakibatkan penduduk yang panik meluru ke jalan-jalan raya namun tiada amaran tsunami dikeluarkan.

Gempa bumi yang melanda kira-kira 165km selatan barat daya bandar Ternate di wilayah Utara Maluku pada jam 6:28 waktu tempatan dengan kedalaman 10km, menurut Jabatan Geologi AS. “Gempa bumi dapat dirasakan begitu kuat, mengakibatkan penduduk berlari keluar, mereka dalam keadaan panik dan ramai yang menunggu di tepi jalan raya,” kata pegawai pengurusan bencana tempatan, Mansur kepada AFP.

Para pegawai masih lagi menilai situasi tersebut namun belum ada laporan korban jiwa, kata Mansur.

Wilayah itu juga dilanda oleh gerak gempa 6.9 magnitud minggu lalu tetapi tiada kerosakan besar dilaporkan.

Indonesia sering mengalami aktiviti gunung berapi dan seismik akibat kedudukannya yang terletak dalam ‘lingkaran api’ Pasifik, di mana plat tektonik sering berlanggar. – AFP