TAFEGHAGHTE, MAGHRIBI, 10 SEPT – Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) menganggarkan 300,000 orang terjejas oleh gempa bumi bermagnitud 6.8 Skala Richter pada malam Jumaat lalu, dengan lebih 2,000 disahkan maut setakat ini, jumlah yang djangkakan meningkat.
Gempa susulan 3.9 skala Richter turut menggegarkan Maghribi hari ini ketika mereka mendoakan mangsa-mangsa gempa bumi terkuat pernah berlaku di negara itu dalam masa lebih daripada seabad.
Kerja-kerja menyelamat turut dipercepatkan manakala askar-askar dan pekerja bantuan membawakan air dan bekalan makanan ke perkampungan di pergunungan yang musnah teruk dilanda gempa bumi itu.
Gempa terkuat itu telah meragut sekurang-kurangnya 2,012 nyawa dan mencederakan lebih 2,059 orang, di mana kebanyakannya mengalami kecederaan serius, menurut angka rasmi terkini.
Gempa bumi berukuran 6.8 pada Jumaat lalu melanda 72 kilometer di barat daya pusat pelancongan Marrakech, memusnahkan kawasan perkampungan di luar bandar.
“Saya telah kehilangan segala-galanya,” kata Lahcen, seorang penduduk kampung gunung Moulay Brahim, yang telah kehilangan isteri dan empat anaknya akibat gempa tersebut.
Pasukan penyelamat mengeluarkan mayat tiga anak perempuan Lahcen dari runtuhan yang dahulunya rumah mereka, namun belum menemukan mayat isterinya dan anaknya.
“Kini saya tidak boleh berbuat apa-apa, saya hanya mahu menjauhkan diri daripada dunia dan berkabung,” katanya. – AFP
