Gempa di pulau Crete ragut 1 nyawa

ATHENS, 27 SEPT – Gempa bumi kuat melanda Crete awal hari ini, membunuh seorang lelaki, mencederakan hampir puluhan yang lain, memusnahkan sebuah bandar dan menyebabkan penduduk panik bertempiaran ke jalan raya di pulau terbesar Greece.

Gempa bumi berukuran 5.8 magnitud menurut balai cerap seismologi Greece itu telah membunuh seorang lelaki yang sedang membaiki sebuah gereja.

Warga emas berusia 62 tahun itu dihempap runtuhan di bandar pertanian kecil Arkalochori, di mana hampir puluhan cedera, 30km tenggara pulau bandar Heraklion.

Evangelia Christaki, yang suaminya mengalami kecacatan anggota berkata dia sempat melarikan diri ketika rumahnya bergegar.

“Saya menarik suami saya dan kami bergegas keluar, semuanya dalam rumah itu runtuh,” katanya yang berusia 62 tahun, yang bekerja di sebuah pasar raya, memberitahu AFP ketika pasangan itu duduk berlindung di sebuah pokok.

Mereka turut disertai oleh ibu mertuanya yang berusia 96 tahun, juga mengalami nasib serupa.

“Nasib baik, rumah kami tidak musnah teruk,” kata Christaki.

“Namun pihak berkuasa telah memberitahu kami untuk berada di luar dalam beberapa jam ini,” katanya bimbang. Jabatan Geologi AS mengukur gempa bumi itu pada 6.0 skala Richter. Gegaran melanda pada jam 9:17 pagi, 23km dari bandar Heraklion, Crete yang disusuli oleh puluhan kejutan lanjur. – AFP

Rumah musnah susulan gempa bumi di Arkalochori, pulau Crete pada 27 September. – AFP