Gempa kuat gegar Lima

LIMA, 23 JUN – Gempa bumi kuat menggegar bandar Lima dan rantau tengah pesisir Peru lewat kelmarin, dengan tiada laporan segera mengenai korban jiwa dan kerosakan.

Pusat seismologi Peru berkata gempa tersebut sekuat enam magnitud, sementara Kajian Geologi Amerika Syarikat yang memantau gempa bumi di seluruh dunia mencatatkan gempa tersebut sekuat 5.8 magnitud.

Gempa berlaku pada pukul 9:54 malam waktu tempatan, dengan pusat gempa 33 kilometer barat daya Mala – kira-kira 100 kilometer selatan Lima – dan dengan kedalaman 32 kilometer, menurut Pusat Seismologi.

Penduduk di Lima – yang mempunyai keramaian penduduk 9.7 juta, hampir satu pertiga penduduk Peru – membanjiri jalan-jalan raya ketika gempa berlaku.

Pemantau Peru berkata tiada sebarang ancaman tsunami dikeluarkan.

“Gempa tersebut merupakan yang terkuat pernah dirasai di Lima dalam tempoh beberapa tahun,” kata Hernando Tavera, ketua Institut Geofizik Peru.

Datuk bandar Mala, Sonia Ramos memberitahu stesen radio RPP bahawa pegawai bandar memeriksa kerosakan dan mangsa. Talian telefon terputus sementara di bandar yang dihuni seramai 32,000 orang.

Di Lima, batu-batu jatuh dari cenuram setinggi 80 kaki sepanjang Costa Verde, kawasan sibuk di bawah pantai di bandar, menurut televisyen tempatan. – AFP