Gempa luar biasa cetus kepanikan di Melbourne

MELBOURNE, 22 SEPT – Gempa bumi luar biasa telah melanda tenggara Australia hari ini, menggegarkan bangunan-bangunan, meruntuhkan dinding dan menyebabkan penduduk Melbourne yang panik bertempiaran ke jalan-jalan raya.

Gempa bumi cetek berukuran 5.9 magnitud melanda timur bandar kedua terbesar negara itu semasa permulaan hari bekerja adalah salah satu yang terbesar melanda negara itu dalam masa beberapa dekad.

Dengan Melbourne memulakan minggu kelapan sekatan pergerakan pandemik dan berdepan keganasan bantahan anti vaksin tiga hari berturut-berturut, kebanyakan penduduk sedang berada di rumah apabila gegaran berlaku.

Zume Phim, 33, pemilik kafe Oppen Melbourne, berkata dia berlari ke jalan raya ketika gegaran berlaku.

“Seluruh bangunan bergegar. Semua tingkap, kaca bergoncang – seperti gelombang melanda. Saya tidak pernah merasai pengalaman seperti ini, agak menakutkan,” katanya kepada AFP.

Penduduk berkumpul dekat bangunan musnah di Jalan Chappel di Melbourne pada 22 September. – AFP

Serpihan bangunan terutama batu bata dari bangunan, berselerak di kawasan beli-belah popular di Chapel Street, Melbourne.

Batu bata dan serpihan simen memenuhi perkarangan sebuah restoran burger dengan kepingan besi tergantung di bahagian bumbung luar restoran.

“Kami bernasib baik tidak ada sesiapa berada di restoran ketika itu,” menurut restoran berkenaan dalam laman Facebooknya.

Perkhidmatan Kecemasan Negeri Victoria berkata ia telah menerima 100 panggilan meminta bantuan ‘sebahagian besarnya berkaitan dengan kerosakan struktur pada cerobong dan permukaan bangunan’.

“Ia sedikit kuat namun semua orang juga dalam kekejutan,” kata pekerja kafe Melbourne, Parker Mayo, 30 memberitahu AFP.

Gempa bumi berukuran besar jarang berlaku di Australia.

Pada magnitud 5.9 dan kedalaman kira-kira 10km, ia adalah ‘kejadian terbesar di tenggara Australia sejak sekian lama’, kata Mike Sandiford, seorang ahli geologi di Universiti Melbourne memberitahu AFP.

“Kita ada mengalami gempa bumi kuat sekitar lewat 1800an tetapi kekuatan sebenar tidak dapat diukur pada masa itu. Gempa sebesar ini hanya dijangka setiap 10 hingga 20 tahun di tenggara Australia, dengan yang terakhir pada 2012 tetapi kali ini jauh lebih kuat,” katanya. – AFP