Gempa susulan cetus panik di Lombok

MATARAM, Indonesia, 9 Ogos – Jumlah kematian akibat gempa bumi yang menggegarkan pulau Lombok di Indonesia melonjak kepada 319 orang hari ini, ketika gempa susulan kuat melanda di sana menyebabkan panik di kalangan mangsa terselamat yang sedang menunggu bantuan di kawasan-kawasan yang paling teruk terjejas.

Gempa pada kedalaman cetek berukuran 6.9 magnitud Ahad lalu telah memusnahkan puluhan ribu rumah, masjid dan tempat perniagaan di seluruh Lombok, ketika agensi bantuan baru sahaja menemui mangsa di beberapa kawasan yang teruk terjejas empat hari selepas itu.

“Kemas kini terbaharu kami ialah 319 orang meninggal dunia,” kata ketua menteri keselamatan Indonesia, Wiranto sambil menambah usaha menyelamat sedang giat dijalankan dan menjadi rumit selepas berlakunya gempa susulan.

Jurucakap agensi bencana kebangsaan, Sutopo Purwo Nugroho berkata, jumlah yang kehilangan tempat tinggal dalam bencana itu melonjak kepada 270,000, dengan sekitar 1,000 orang dilaporkan cedera parah.

Kebanyakan mereka yang kehilangan tempat tinggal berteduh di bawah khemah-khemah berhampiran rumah mereka yang musnah atau di tempat perlindungan yang kekurangan bekalan makanan, air bersih dan bantuan perubatan.

Pasukan keselamatan cuba menenangkan keadaan ketika orang ramai panik ketakutan selepas gempa susulan berukuran 5.9 magnitud menggegarkan di daerah Tanjung, pulau Lombok, kelmarin. – AFP

Sementara itu, kemudahan tempat perubatan sementara telah ditubuhkan untuk merawat mangsa yang tercedera.

Mereka yang terselamat juga merasakan beratus-ratus gegaran gempa susulan, termasuk gempa kuat berukuran 5.9 magnitud hari ini yang menyebabkan orang ramai melarikan diri mencari tempat perlindungan dan menjerit ketakutan.

Motosikal yang diletakkan di jalan-jalan raya di daerah Tanjung, utara Lombok terjatuh dan dinding-dinding beberapa bangunan berdekatan telah roboh.

“Kami tersekat dalam lalu lintas ketika cuba menyalurkan bekalan bantuan, tiba-tiba terasa seolah-olah kereta kami dilanggar dari belakang, ia amat kuat,” beritahu saksi Sri Laksmi kepada AFP.

“Orang di jalan mula panik dan keluar dari kereta mereka, berlari dalam arah berlainan di tengah-tengah lalu lintas.”

Seramai 24 orang cedera akibat runtuhan dari gegaran itu, kata Nugroho.

Pihak berkuasa dan kumpulan bantuan antarabangsa telah mula cuba menyalurkan bantuan, tetapi jalan raya yang rosak telah melambatkan usaha untuk menemui mangsa yang terselamat di utara Lombok. – AFP