Genap lima tahun kehilangan MH370

KUALA LUMPUR, 7 Mac – Esok, genap lima tahun penerbangan Malaysia Airlines MH370 hilang tanpa jejak di selatan Lautan Hindi dan persoalan paling penting dalam misteri penerbangan terbesar di dunia itu masih belum dijawab, di manakah anda dan apa sebenarnya yang terjadi?

Kehilangan pesawat penumpang Boeing 777 yang hilang daripada skrin radar semasa dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing pada 8 Mac 2014, dengan 239 penumpang terus membelenggu fikiran pakar penerbangan, anggota keluarga, sahabat dan seluruh dunia.

Operasi pencarian terakhir pesawat itu berakhir Mei tahun lepas apabila syarikat eksplorasi yang berpangkalan di Amerika Syarikat, Ocean Infinity gagal mengesan pesawat malang itu selepas melakukan pencarian lebih 112,000 kilometer persegi di dasar laut selama lebih tiga bulan tempoh operasi.

Sehingga kini, hanya tiga serpihan sayap, dikenali sebagai flaperon, disahkan berasal dari pesawat Penerbangan MH370.

Laporan berita menunjukkan bahawa penyiasat menemui nombor pada bahagian serpihan itu sepadan dengan nombor siri dan pengenalan yang dimiliki oleh bahagian-bahagian yang dibuat secara unik untuk Malaysia Airlines.

Serpihan sayap kanan ditemui di Saint Denis di Reunion Island pada Julai 2015, dua lagi serpihan lain ditemui di Mauritius pada Mei 2016 dan di sebuah pulau di Tanzania pada Jun 2016.

Selain itu, dilaporkan kira-kira 30 serpihan ditemui orang awam di kepulauan dan pantai Afrika di Lautan Hindi dan kebanyakannya diserahkan kepada pihak berkuasa dengan sebahagiannya disahkan sebagai ‘hampir pasti’ milik pesawat malang itu.

Laporan berita turut memaparkan penyiasat mendapati beberapa keping serpihan itu mempunyai nombor dan huruf stensil yang sama jenis tulisan dan warna digunakan oleh Malaysia Airlines serta beberapa bahagian dengan corak hiasan sepadan dengan Malaysia Airlines dan tidak digunakan oleh mana-mana syarikat penerbangan yang lain.

“Dengan melancarkan semula penyiasatan mungkin cara yang baik jadi kita dapat menentukan dengan lebih konkrit asal-usul 30 atau lebih serpihan bangkai pesawat dan kita dapat merancang dengan teratur lokasi di mana kepingan ini ditemui,” kata pakar penerbangan tempatan, Profesor Dr Mohd Harridon Mohamed Suffian. – Bernama