Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 23 April – Walaupun sedar bahawa 99 peratus bidang kerjaya yang diceburi dimonopoli oleh lelaki, seorang wanita tempatan berusia 28 tahun berani menyahut cabaran untuk menceburi kerjaya yang jarang sekali menjadi pilihan wanita di negara ini.
Menurut Dayang Nuruladilah binti Haji Abdul Rani, bidang kerjaya yang dilihat dikuasai oleh lelaki itu turut menawarkan ruang buat wanita dan belia untuk mencari rezeki dan ia bukan satu cabaran yang sukar untuk dihadapi.
Anak kelahiran Kampung Keriam, Daerah Tutong itu merupakan anak bongsu daripada dua beradik dan memegang Diploma dalam Perniagaan dan Kewangan di Sekolah Perdagangan pada tahun 2012.
Penglibatan beliau dalam kerjaya sebagai pemandu teksi ini mendapat sokongan daripada keluarga, sekali gus menjadikannya salah seorang dairpada tiga orang pemandu teksi wanita di negara ini.
Semasa temu bual media, baru-baru ini, Dayang Nuruladilah yang sudah menjadi pemandu teksi sejak tahun 2015 mengakui bahawa pada peringkat awal beliau berhadapan dengan pelbagai cabaran disebabkan saingan dengan pemandu teksi yang lain.

Selain bekerja keras selepas waktu subuh sehingga menjelangnya tengah malam, beliau lebih suka bekerja daripada bercuti, ujarnya.
Malah wanita itu juga tidak pernah rasa tertekan jika saban hari terpaksa berhadapan dengan laluan baru kerana menganggap ia sebagai cabaran.
‘’Pengalaman melalui laluan baru begitu saya sukai kerana secara tidak langsung ini akan menambahkan pengalaman saya untuk mahir dengan jalan-jalan di negara ini,” katanya.
Tambahnya lagi, sepanjang dua tahun menjadi pemandu teksi, beliau tidak pernah berdepan dengan cabaran yang menakutkan kerana apa yang penting adalah niat untuk mencari rezeki.
Menurutnya lagi, seorang pemandu teksi bukan sahaja perlu pandai berkomunikasi tapi perlu rajin menimba pengetahuan untuk dikongsi dengan penumpang kerana seorang pemandu teksi juga perlu bertanggungjawab untuk mempromosi tempat menarik di negara ini.
Ditanya mengenai sistem teksi bermeter, beliau menjelaskan, dengan adanya sistem itu ia lebih teratur sekali gus memberi kepercayaan kepada penumpang yang menggunakan khidmat teksi di negara ini.
“Setakat sistem ini diperkenalkan pada tahun 2016, khidmat teksi saya tidak terjejas malah mendapat sambutan dan kepercayaan daripada penumpang malah ada yang menjadi penumpang tetap,” jelasnya.
Selain pelancong luar negara dan penumpang tempatan, perkhidmatan beliau juga digunakan oleh empat buah hotel di negara ini.
Kini beliau bukan sahaja fasih berbahasa Inggeris malah turut menguasai beberapa bahasa yang lain.