General Electric kurangkan 10,000 pekerjaan

NEW YORK, 5 MEI – General Electric (GE) mengumumkan kelmarin bahawa mereka akan mengurangkan 10,000 pekerjaan tambahan dari sektor penerbangan mereka disebabkan oleh kemerosotan berpunca daripada koronavirus, memaksa syarikat-syarikat untuk membatalkan tempahan.

Pengurangan itu termasuk bagi mereka yang berhenti secara sukarela dan sementara yang dibuat selepas pengurangan pekerja pada awal Mac sebanyak 2,600, menurut kenyataan GE.

Syarikat menyasarkan untuk mengurangkan pekerjaan di bahagian penerbangan sebanyak 25 peratus, atau kira-kira 13,000 orang pekerja.

Program penjimatan kos, yang mana akan memberi kesan kepada semua zon geografi, mencerminkan masa sukar di keseluruhan sektor penerbangan yang sedang berlaku.

Boeing mengumumkan minggu lalu telah mengurangkan 16,000 pekerjaan, kira-kira 10 peratus dari tenaga kerjanya, dalam pembuatan pesawat komersial.

Mereka turut mengurangkan produksi pesawat jarak jauh 787 dan pesawat 777/777X.

Syarikat itu belum lagi mengumumkan tarikh bila ia akan menyambung semula pesawat utama mereka 737 MAX. Airbus turut mengurangkan pengeluaran mereka.

GE terkesan secara langsung daripada keputusan tersebut kerana mereka adalah pengeluar enjin bagi Boeing dan Airbus.

Trafik udara global dijangka menurun 80 peratus semasa suku kedua berbanding dengan bulan Februari, GE berkata dalam surat kepada 52,000 orang pekerjanya.

“Untuk melindungi perniagaan kami, kami telah memberi respons dengan tindakan sukar memotong perbelanjaan dalam tempoh dua bulan yang lalu,” CEO David Jocye berkata dalam suratnya.

“Malangnya, lebih banyak yang diperlukan ketika kita menyukat perniagaan dengan realiti pasaran komersial kita.”

Pemotongan pekerjaan adalah sebahagian daripada rancangan penjimatan sebanyak AS$3 bilion yang akan dilaksanakan pada tahun ini.

Sebagai tambahan, separuh daripada pekerja yang menjaga penyelenggaraan dan pembaikan penerbangan tidak akan bekerja selama tiga bulan.

Pengambilan pekerja telah dihentikan ketika ini dan pembayaran bonus ditiadakan.- AFP