Generasi berwibawa bentuk umat bertamadun

Oleh Yusrin Junaidi
Gambar serahan Kementerian Pertahanan

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 OGOS – Dalam membentuk umat yang bertamadun, memerlukan generasi yang berwibawa dengan membekalkan diri kepada tiga komponen penting iaitu berilmu, beramal dan berakhlak.

“Berilmu adalah asas utama untuk mencapai hala tuju pembangunan sama ada dalam bidang ekonomi, pertahanan dan sebagainya. Generasi berilmu memerlukan kepada perancangan strategik untuk menghasilkan kejayaan di dunia dan juga di akhirat.

“Begitu juga, generasi beramal dengan perintah Allah dan juga undang-undang akan dapat membentuk keutuhan satu umat yang proaktif ditambah lagi dengan hiasan akhlak yang terpuji,” jelas Pengarah Perhubungan Awam dan Antarabangsa, Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Haji Sammali bin Haji Adam dalam ceramahnya bertajuk ‘Generasi Berilmu, Beramal dan Berakhlak Memacu Pembangunan Umat’ di Surau Ad-Difa’, Kementerian Pertahanan, hari ini.

Ceramah sempena Sambutan Awal Tahun Hijrah anjuran Kementerian Pertahanan dan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) itu menyentuh pandangan Islam mengenai kepentingan pembangunan belia dalam menegakkan ajaran Islam, terutamanya untuk merealisasikan Wawasan Brunei 2035 sebagai sebuah negara yang berpendidikan tinggi dilengkapi dengan keimanan dan ketakwaan kepada Allah SWT.

Haji Sammali berkata, integrasi berilmu, beramal dan berakhlak tidak dapat dipisahkan kerana setiap daripadanya saling memerlukan.

Haji Sammali ketika menyampaikan ceramah bertajuk ‘Generasi Berilmu, Beramal dan Berakhlak Memacu Pembangunan Umat’.
Yang Berhormat Menteri Pertahanan Kedua hadir pada majlis sempena Sambutan Awal Tahun Hijrah anjuran Kementerian Pertahanan dan ABDB.

Ketiga-tiga ikatan tersebut, tambah beliau, akan menyuburkan rasa keimanan dan ketakwaan seseorang Muslim sehingga melihat kehidupan dunia sebagai jambatan menuju
akhirat.

Sekiranya tiga perkara ini mampu diterapkan dalam diri setiap generasi, maka akan lahirlah sebuah ummah yang hebat, membangun dengan roh islamiyyah yang sebenar dengan petunjuk dan rahmat dari Allah SWT, tambahnya.

Hadir pada majlis tersebut ialah Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof; Pemerintah ABDB, Mejar Jeneral Pengiran Dato Paduka Seri Aminan bin Pengiran Haji Mahmud; Setiausaha Tetap di Kementerian Pertahanan, Brigedier Jeneral (B) Dato Seri Pahlawan Shahril Anwar bin Haji Ma’awiah, pemerintah-pemerintah angkatan tentera, timbalan-timbalan setiausaha tetap di Kementerian Pertahanan, para pegawai kanan, pegawai, anggota dan kakitangan Kementerian Pertahanan dan ABDB.

Terdahulu itu, majlis dimulakan dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran, Surah An-Nisa ayat 80-86.

Majlis telah dilaksanakan mengikuti garis panduan yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan dan Kementerian Hal Ehwal Ugama bagi mengawal penularan COVID-19.