Generasi celik Al-Quran

Oleh Salawati Haji Yahya & Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 JULAI – Sebagai aktiviti tahunan di bawah kokurikulum Jabatan Pengajian Islam (JPI) untuk melahirkan generasi celik Al-Quran, sekolah-sekolah agama di negara ini mengadakan majlis-majlis khatam Al-Quran bagi meraikan murid-murid Darjah 6 yang telah berjaya menamatkan bacaan 30 Juzuk Al-Quran.

Antara yang mengadakan majlis seumpamanya hari ini adalah Sekolah Ugama Begawan Pehin Udana Khatib Haji Umar, Kampung Setia yang meraikan seramai 31 orang murid sekolah tersebut.

Hadir selaku tetamu khas pada majlis yang berlangsung di dewan sekolah agama itu ialah Ketua Bahagian Sekolah Ugama, JPI, Awang Mohammad Ahsanul Azmi bin Haji Sharbini yang turut menyampaikan sijil kepada para peserta khatam.

Manakala seramai 83 orang murid yang terdiri daripada 60 orang murid sesi pagi dan 23 orang murid sesi petang Sekolah Ugama Jerudong telah diraikan pada majlis yang berlangsung di dewan sekolah tersebut.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Pegawai Tugas-tugas Khas Kanan, Ketua Bahagian Dasar, Perancangan dan Penyelidikan di Kementerian Hal Ehwal Ugama, Pengiran Anak Dr Haji Amiruddin Alam Shah bin Pengiran Anak Haji Ismail.

Pengiran Anak Dr Haji Amiruddin Alam Shah hadir selaku tetamu kehormat. – Gambar oleh Muiz Matdani
Awang Mohammad Ahsanul Azmi menyampaikan sijil khatam kepada salah seorang pelajar Sekolah Ugama Begawan Pehin Udana Khatib Haji Umar, Kampung Setia.
Para peserta khatam Sekolah Ugama Pengiran Muda Abdul Malik, Bengkurong.

Sekolah Ugama Pengiran Muda Abdul Malik, Bengkurong pula meraikan 41 orang pelajar yang terdiri daripada pelajar sesi pagi dan petang dalam majlis yang berlangsung di Dewan Sekolah Ugama Pengiran Anak Puteri Amal Umi Kalthum Al-Islam, Kampung Mulaut.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Pemangku Penghulu Mukim Kilanas merangkap Ketua Kampung Bengkurong, Sinarubai dan Burong Lepas, Haji Talip bin Haji Bakar @ Abu Bakar.

Sementara itu, semalam, seramai 20 orang murid Sekolah Ugama Raja Isteri Pengiran Anak Saleha pada majlis seumpamanya yang diadakan di dewan sekolah tersebut.

Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis itu ialah Awang Mohd Ahsanul Azmi bin Haji Serbini.

Majlis khatam Al-Quran berkenaan juga diadakan bertujuan untuk menggalakkan murid-murid dapat mengkhatamkan Al-Quran sebelum mereka menamatkan pembelajaran Darjah 6 di persekolahan agama selain memupuk semangat supaya murid-murid sentiasa mencintai dan menghayati Al-Quran dan ajaran agama Islam.

Di samping itu, ia juga melatih murid-murid supaya lebih berusaha bagi mendapatkan keredaan daripada Allah SWT dan dipermudahkan dalam melakukan segala pekerjaan dan mena-namkan sifat bekerjasama di antara warga sekolah, ibu bapa dan penjaga murid.