Tuesday, April 23, 2024
28.9 C
Brunei

    -

    Generasi ketiga teruskan legasi selam tiram di Muar

    MUAR – Apabila melangkah ke daerah ini pastinya pengunjung akan menjejaki keunikan tersendiri yang terdapat di Bandar Maharani Bandar Diraja itu termasuk mi bandung, sate, asam pedas dan hidangan hasil laut seperti tiram.

    Tiram yang terdapat di Sungai Muar dipercayai sebagai antara berkualiti tinggi di dunia, dan nelayan yang ‘menuai’ hasil di dasar sungai itu masih menggunakan kaedah dan teknik tradisional iaitu menyelam tanpa sebarang peralatan pernafasan.

    Seorang penyelam tiram, Zainal Yahya, berkata aktiviti menyelam dan mengutip tiram di Sungai Muar dekat Pangkalan Tiram, kira-kira dua kilometer dari Bandar Muar, telah mula dilakukan para nelayan sekitar tahun 1858.

    Generasi ketiga selam tiram itu berkata pada tahun 1908, Allahyarham datuknya Yep Pantas mula menjadikan aktiviti menyelam dan mengutip tiram di dasar sungai sedalam antara enam dan sembilan meter sebagai punca utama pendapatan bagi menanggung keluarga. 

    “Ketika kanak-kanak, saya kagum melihat bapa melakukan aktiviti mencabar ini dengan menahan nafas, meraba menggunakan tangan kosong kerana tahap penglihatan sangat terhad berikutan dasar sungai yang berlumpur, dan saya mencabar diri akan melakukan perkara sama suatu hari nanti,” katanya ketika ditemui Bernama di Pangkalan Tiram.

    Zaini Mohd Noh, antara penyelam tiram veteran menunjukkan hasil kutipan tiram dengan hanya berbekalkan gogal selam dan tenaganya di Pengkalan Tiram, Sungai Muar. – Bernama
    Tiram yang terdapat di Sungai Muar dipercayai sebagai antara berkualiti tinggi di dunia selain nelayan yang mahu mendapatkan hidupan sungai itu masih menggunakan kaedah dan teknik tradisional iaitu menyelam tanpa menggunakan sebarang peralatan pernafasan. – Bernama
    Aktiviti menyelam dan mengutip tiram di Sungai Muar dekat Pangkalan Tiram, kira-kira dua kilometer dari Bandar Muar, telah mula dilakukan para nelayan secara bergenerasi sejak sekitar tahun 1858. – Bernama
    Zainal Yahya mengopek Tiram Putih yang sesuai dimakan mentah atau dimasak untuk dijual kepada pelanggan. – Bernama
    Penyelam tiram, Zainal Yahya mengopek tiram untuk dijual kepada pembeli ketika tinjauan Bernama di Pengkalan Tiram, Sungai Muar. – Bernama

    Menurut Zainal, ketika berumur 12 tahun dia mula mengikut bapanya, Allahyarham Yahya Yep ke sungai selain diajar menyelam dengan menahan nafas antara satu hingga dua minit di dasar sungai semasa air surut, dan kini kaedah sama juga telah diajarkan kepada anak lelakinya, Azmi Zainal, 36, yang turut berminat melakukan aktitivi itu. 

    Katanya, kayu lenggadai sepanjang 10 meter digunakan untuk aktiviti itu dengan memacakkannya ke dasar sungai di sebelah perahu dan penyelam akan turun menyelam mengikut kayu berkenaan, dan mengambil tiram di dasar sungai menggunakan tangan, manakala kaki kekal berpaut pada kayu bagi mengelak daripada dihanyutkan arus.

    “Saya akan meneruskan legasi menyelam tiram ini selagi ada hayat kerana ia adalah aktiviti dari generasi ke generasi dengan menggunakan teknik unik. Suatu ketika dahulu terdapat hampir 50 penyelam tiram di Pangkalan Tiram namun kini hanya tinggal lapan orang yang aktif berusia antara 24 dan 69 tahun.

    “Menjadi penyelam tiram bukan sesuatu yang mudah kerana setiap penyelam memerlukan banyak tenaga untuk bertahan mengutip tiram di dasar sungai. Kadangkala tekanan dan arus kuat boleh menyebabkan telinga atau hidung berdarah dan inilah antara cabarannya,” katanya.

    Selain itu, katanya penyelam tiram juga terpaksa berdepan dengan hidupan berbisa seperti obor-obor dan sengatan ikan berduri selain cengkerang tiram dan kupang di dasar sungai yang boleh melukakan jika terpijak.

    Zainal berkata terdapat dua jenis tiram yang ditemui di Sungai Muar iaitu isi yang berwarna kelabu coklat, dan putih krim dengan memiliki rasa yang enak selain mendapat permintaan yang tinggi termasuk individu, restoran, hotel dan dieksport ke Singapura.

    “Pengalaman yang tidak saya lupakan adalah terpilih untuk mencari tiram di Sungai Muar di belakang Istana Hinggap Muar, Jalan Petri bagi hidangan santapan golongan diraja sekitar tahun 1967, saya teruja, seronok dan dianggarkan enam kilogram tiram siap dikopek kulit telah dihantar ke istana berkenaan,” katanya sambil menambah isi tiram segar ketika ini dijual dengan harga sekitar RM50 sekilogram.

    Pada 4 November tahun lepas, media melaporkan menerusi kerjasama penyelidikan antara Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Queen’s University Belfast mengesahkan spesies tiram Crassostrea (Magallana) saidii juga dikenali sebagai tiram putih hanya terdapat di muara Sungai Muar dan tidak terdapat di kawasan lain di dunia. Laporan itu dipetik memaklumkan spesies baharu itu dikenali sebagai tiram putih atau tiram premium dalam kalangan penduduk dan nelayan tempatan kerana isinya yang berwarna putih krim dan berkualiti tinggi. – Bernama

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sekumpulan gempa bumi gegarkan Taiwan

    TAIPEI, 23 APRIL - Sekumpulan gempa bumi melanda Taiwan pada awal hari ini, yang paling kuat mempunyai magnitud 6.1, menurut Kajian Geologi Amerika Syarikat...