Oleh Syahmi Hassan
BANDAR SERI BEGAWAN, 12 MAC – Aspirasi kolektif untuk masa depan yang lebih baik dengan kemakmuran global dan pertumbuhan ekonomi yang kukuh terletak di tangan generasi muda.
Ini kerana mereka adalah peneraju industri dan tenaga kerja inovatif masa depan, yang kreativitinya akan meningkatkan kemakmuran global, kata Peguam Negara dan Pengerusi Lembaga Pengarah ISB, Yang Berhormat Dato Seri Paduka Haji Ahmad bin Pehin Orang Kaya Laila Setia Bakti Di-Raja Dato Laila Utama Haji Awang Isa semasa berucap pada majlis perasmian Persidangan Isu Global Borneo Sekolah Antarabangsa Brunei (ISB BGIC) ke-19 kelmarin.
Menurutnya, persidangan bertemakan Decent Work and Economic Growth itu adalah bertepatan untuk menangani isu-isu global yang dihadapi oleh negara dan kerajaan di seluruh dunia selepas tempoh pasca-pandemik.
Ia kerana pada tempoh itu, dunia dalam keadaan tidak menentu akibat ketidakstabilan global, bencana alam dan gangguan lain yang mengancam pemulihan dan pertumbuhan ekonomi global, tambahnya.
Terdahulu, persidangan telah dimulakan dengan ucapan Pengetua Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif ISB, Dr Stephen Kendall-Jones diikuti ucapan oleh wakil pelajar, Pengiran Seti Amanina Wafiqah binti Pengiran Anak Haji Abdul Wadood Bolkiah dan Setiausaha Agung ISB BGIC, Alfiansyah Max Bannatyne Clark.

Pada majlis itu, penceramah jemputan, Ketua Sekretariat Majlis Perancangan Tenaga Kerja dan Pekerjaan (MPEC) di Jabatan Perdana Menteri, Dr Hajah Siti Haziah binti Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin telah menyampaikan ucaptama menyentuh mengenai strategi negara menangani pengangguran dengan memberi tumpuan kepada pekerjaan yang menguntungkan dan mampan.
Manakala Timbalan Pengarah Urusan dan Pengarah Komersial Syarikat Minyak Brunei Shell (BSP) Sdn Bhd, Haji Mohamad Azmi bin Haji Mohd Hanifah menekankan mengenai kepentingan kerjasama antara kerajaan, sektor swasta dan syarikat dalam mempromosikan keusahawanan, kreativiti, penyelidikan dan inovasi bagi memastikan pembangunan sumber-sumber manusia yang mampan dan kalis masa hadapan.
Yang Berhormat Dato Seri Paduka Haji Ahmad turut menyampaikan sijil penyertaan kepada wakil dari 23 buah sekolah dan cenderahati kepada para penaja dan penyokong persidangan antaranya BSP, Brunei LNG Sdn Bhd, Dynamik Technologies Sdn Bhd, Datastream Digital Sdn Bhd, Bank Islam Brunei Darussalam, Brunei Fertilizer Industries Sdn Bhd dan Butra HeidelbergCement Sdn Bhd, dengan sokongan daripada TLT Enterprise, Interhouse Company, Air Cat Logistics Sdn Bhd, D’Sunlit Sdn Bhd, Brunei Press Sdn Bhd dan Aewon Garment and Embroidery.