Generasi muda Vietnam giat melabur dalam firma baharu

BANDAR HO CHI MINH, 12 JULAI – Penduduk yang berteknologi, ekonomi berkembang pesat dan faedah menjadi firma pertama dalam pasaran membangun – usahawan Vietnam Le Thanh melihat potensi besar dalam Bandar Ho Chi Minh untuk firma baharu dalam mengubah sisa kopi kepada penutup mulut dan hidung.

Siswazah kimia berusia 35 tahun itu bekerja untuk dua firma multinasional sebelum melancarkan firma baharu ShoeX tiga tahun lalu– syarikat kasut mampan yang beralih kepada penutup mulut dan hidung apabila pandemik koronavirus meletus.

Beliau percaya Vietnam, dan terutamanya pusat komersial di selatan, dijangka menjadi hab inovasi disebabkan penduduknya yang muda, berpendidikan dan amat aktif dalam bidang digital.

Syarikat e-dagang dan e-bayaran Vietnam telah ‘dibanjiri’ dengan ekuiti swasta sejak beberapa tahun ini, kata Eddie Thai, rakan kongsi di firma modal usaha sama Bandar Ho Chi Minh.

Firma baharu Vietnam membentuk 18 peratus – atau AS$741 juta – daripada modal yang dilabur di Asia Tenggara pada 2019, meningkat daripada empat peratus pada 2018, menurut satu laporan oleh Cento Ventures.

Walaupun Indonesia masih menjadi pemimpin, jumlah yang disalurkan dalam firma baharu Vietnam mengatasi Singapura untuk kali pertama dalam 2019, kata firma modal usaha sama itu. Walaupun Thai berkata pelaburan telah terhenti disebabkan pandemik koronavirus, Vietnam berada dalam kedudukan kukuh untuk berpulih semula. – AFP

Gambar bertarikh 29 Jun 2020 menunjukkan usahawan Le Thanh memeriksa kasut yang diperbuat daripada sisa kopi di pejabatnya di Bandar Ho Chi Minh. – AFP