Generator – penting untuk pelancongan Pulau Kapas

MARANG – Pengusaha resort dan chalet di Pulau Kapas berharap kejadian gangguan bekalan elektrik yang berlaku di pulau  peraginan itu dengan kemuncak gangguan lebih 24 jam pada Sabtu lalu (29 Ogos), tidak akan berulang demi menjamin keselesaan dan keselamatan pelancong, pada masa akan datang.

Rata-rata pengusaha yang dihubungi media meluahkan rasa syukur dengan tindakan pantas kerajaan negeri Terengganu yang berusaha memulihkan segera kerosakan pada dua generator di pulau peranginan itu dengan menyediakan peruntukan sebanyak RM200,000.

Bagi pemilik D Seri Kapas Island Resort, Chiong Hoong Lee, langkah kerajaan negeri yang begitu komited itu telah dapat memulihkan semula imej Pulau Kapas yang sedikit sebanyak telah tercalar berikutan insiden berkenaan.

“Pulau Kapas diakui sangat cantik, tenang dan sentiasa jadi tarikan pelancong. Sangat menyedihkan jika hanya disebabkan masalah bekalan elektrik, pulau ini tidak lagi jadi pilihan untuk dikunjungi dan saya berasa lega kerana kerajaan negeri telah meluluskan kos baik pulih set generator itu dengan segera,”  katanya kepada media.

Chiong yang memiliki 22 bilik penginapan di pulau peranginan itu berkata walaupun mengalami kerugian kerana pengunjung membatalkan tempahan bilik pada saat-saat akhir, namun beliau lebih mengutamakan keselesaan pelancong yang menginap di chaletnya.

Bekalan elektrik di Pulau Kapas dihasilkan oleh sistem solar sejak 2007 yang turut dibantu oleh tiga set generator dengan kapasiti 350 kilowatt ketika tinjauan di stesen solar hibrid di Pulau Kapas. – Bernama
Kerajaan Terengganu memperuntukkan RM200,000 untuk membaiki dua set generator di Pulau Kapas yang dijangka dapat menyelesaikan sepenuhnya masalah gangguan bekalan elektrik di situ. – Bernama
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat Negeri, Ariffin Deraman (kanan) dan Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau negeri, Dr Mamad Putih (kiri) melihat bateri sistem solar yang telah rosak ketika melakukan tinjauan di stesen solar hibrid Pulau Kapas. – Bernama

“Hampir 40 peratus daripada pelanggan telah membatalkan tempahan kerana tiada elektrik pada hujung minggu lepas, namun saya berasa  lega kerana set generator dapat dipulihkan segera,” katanya mengakui pihak pengusaha chalet tidak berkemampuan membeli set generator, kerana harganya mencecah ratusan ribu ringgit.

Sementara itu, pemilik Ombak Kapas Island Beach Resort, Hawa Abd Rahman berkata komitmen kerajaan negeri yang serius menangani masalah gangguan bekalan elektrik di pulau peranginan itu  amat dihargai.

“Masalah gangguan bekalan elektrik sering berlaku sejak Julai dan ia semakin ketara dua minggu kebelakangan ini dan kemuncaknya, pada Sabtu lepas apabila bekalan elektrik terputus sepenuhnya pada waktu malam,” katanya yang terpaksa membawa pelancong ke tanah besar menggunakan bot pada waktu malam, memandangkan tiada jaminan bekalan elektrik akan pulih ketika itu.

“Meskipun sedar ia adalah satu tindakan yang sangat berisiko dan membahayakan keselamatan pelancong, namun kami tiada pilihan,” katanya sambil melahirkan rasa syukur dengan tindakan kerajaan negeri yang berjaya menyelesaikan masalah yang dihadapi mereka.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau negeri Dr Mamad Putih berkata masalah gangguan bekalan elektrik di Pulau Kapas dijangka pulih sepenuhnya dalam tempoh empat minggu.

Bagi penyelesaian jangka panjang, Mamad berkata Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur telah memperuntukkan RM4.9 juta untuk baik pulih dan menaik taraf sistem solar sedia ada serta membeli set generator baharu yang dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh lapan bulan hingga setahun.

Sementara itu, bagi pemilik Qimi Private Bay, Rosmawati Abd Hamid, bekalan elektrik dan air adalah kemudahan asas yang perlu disediakan untuk pelancong di pulau peranginan itu.

“Sewaktu bekalan elektrik terputus baru-baru ini, saya terpaksa memasak di dapur dalam keadaan bergelap….syukurlah masalah ini akan berakhir tidak lama lagi,” katanya yang mengakui sering mengamalkan penggunaan elektrik secara berhemah.

Untuk rekod, sebelum ini, keperluan bekalan elektrik di pulau peranginan itu ditampung oleh tiga set generator namun susulan peningkatan mendadak pelancong kebelakangan ini, menyebabkan satu generator rosak manakala satu lagi tidak dapat beroperasi pada kapasiti penuh.

Operasi generator itu diuruskan sepenuhnya oleh kerajaan negeri melalui Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT). – Bernama