Gambar serahan BKN
BANDAR SERI BEGAWAN, 13 JULAI – Seramai 18 orang warga tempatan terdiri daripada 13 lelaki dan lima perempuan, berumur antara 18 hingga 53 tahun telah berjaya diberkas dalam beberapa siri serbuan Operasi Mary Jane (MJ) yang menyasarkan sindiket pengedaran dadah jenis ganja, sepanjang tempoh dua minggu awal Julai.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan Biro Kawalan Narkotik (BKN), di sini, hari ini, serbuan-serbuan telah dijalankan ke atas beberapa buah kediaman di Kampung Mata-Mata, Kampung Lambak Kiri, Kampung Panchor Mengkubau, Kampung Tanah Jambu, Kampung Rimba, Kampung Sungai Besar dan Kampung Mentiri, Daerah Brunei dan Muara.
Hasil risikan BKN mendapati sindiket itu bergiat aktif mengedar dadah dan dikenal pasti sebagai salah satu dalang menyeludup ganja untuk pasaran tempatan yang disasarkan kepada golongan belia.
Pada tahun ini sahaja, sehingga Jun lalu, BKN telah mencatatkan seramai 151 tangkapan yang terdiri daripada golongan belia iaitu antara umur 15 hingga 35 tahun.
Kadar berkenaan, menurut BKN, sangat membimbangkan kerana merupakan separuh daripada jumlah tangkapan bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini. Secara keseluruhan, BKN telah merampas dadah jenis ganja seberat 867.42 gram, gula-gula getah dipercayai mengandungi ganja Cannabis Edibles seberat 7.13 gram, 14 pil yang dipercayai dadah jenis ecstasy, wang tunai yang dipercayai hasil penjualan dadah berjumlah $8,634, alat-alat perkakas untuk menghisap dadah, alat-alat timbangan digital disyaki untuk kegunaan penjualan dadah, tiga buah kereta, dan beberapa telefon bimbit yang dipercayai digunakan untuk urusan penjualan dadah.
Turut dirampas adalah barang-barang tegahan kastam iaitu beberapa karton rokok dan minuman keras dan telah diserahkan kepada pihak Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED) untuk siasatan lanjut.
BKN memaklumkan bahawa kesemua tangkapan tersebut masih dalam siasatan di bawah kesalahan-kesalahan Seksyen 3A Akta Penyalahgunaan Dadah (APD), Penggal 27 iaitu kesalahan memiliki dadah terkawal bagi tujuan mengedar; Seksyen 6(a) iaitu kesalahan memiliki dadah terkawal; Seksyen 6(b) iaitu kesalahan memakan dadah terkawal; Seksyen 7 iaitu kesalahan memiliki alat perkakas untuk memakan dadah terkawal; Seksyen 10 iaitu kesalahan bersubahat melakukan kesalahan di bawah APD, Penggal 27, dan; Seksyen 3 Perintah Mendapatkan Kembali Hasil Jenayah 2012 iaitu kesalahan pembersihan wang haram.
Dalam kesempatan ini, BKN mengingatkan bahawa Negara Brunei Darussalam masih mengharamkan dadah ganja dan menjadi satu kesalahan untuk memiliki, menghisap, memakan, menanam pokok ganja di bawah Akta Penyalahgunaan Dadah, Penggal 27.
Di bawah undang-undang di Negara Brunei Darussalam, mana-mana warganegara atau penduduk tetap Negara Brunei Darussalam yang didapati mengambil dadah terkawal di luar negara boleh didakwa sepertimana kesalahan itu dilakukan di dalam negara tanpa mengira di mana pengambilan dadah itu dilakukan.
Jika sabit kesalahan memakan dadah terkawal Kelas A, ia boleh membawa hukuman penjara sehingga tempoh 10 tahun atau denda sebanyak $20,000 atau kedua-duanya sekali.
Oleh itu, rakyat dan penduduk di negara ini yang berhasrat untuk melancong ke negara lain bagi sebarang urusan termasuk melancong disarankan untuk peka dan berwaspada mengenai dengan perkara berkenaan.