Geng menyamar polis ditahan

KUALALUMPUR, 11 Okt – Kumpulan penjenayah “Geng Ady” yang aktif melakukan kegiatan samun dengan menyamar sebagai anggota polis sejak dua bulan lepas, tumpas hasil penangkapan lapan lelaki dan dua wanita dalam serbuan berasingan di Cheras dan Selayang 2 Oktober lepas.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Shaharuddin Abdullah berkata kegiatan kumpulan itu yang sering mensasar warga asing terbongkar selepas seorang lelaki dipercayai anggota kumpulan itu ditahan di Jalan Doraisamy di sini awal Oktober lepas.

“Modus operandi Geng Ady menyaksikan mereka bergerak secara berkumpulan terdiri empat atau lima orang serta menyamar sebagai anggota polis dengan menyasarkan warga Bangladesh yang ditemui di tepi jalan sebelum mengarahkan mangsa menunjukkan tempat tinggal mereka,” katanya pada satu persidangan media di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi di sini, hari ini.

Menurutnya apabila berada di rumah mangsa, kumpulan itu akan menggugut mangsa dan rakan-rakan senegaranya untuk menyerahkan wang dan telefon bimbit atau diancam dibawa ke balai polis untuk tindakan lanjut.

Shaharuddin berkata menerusi tangkapan ke atas semua suspek berumur antara 18 dan 26 tahun itu, polis merampas beberapa telefon bimbit pelbagai model dan kad kredit serta sebuah kereta jenis Perodua Alza yang disewa untuk aktiviti samun. “Dengan tangkapan ini, kami berjaya menyelesaikan tujuh kes samun melibatkan mangsa dari kalangan warga asing di daerah Dang Wangi dan Gombak,” katanya.

Semua suspek direman 13 hari bermula 2 Oktober lepas dan kes disiasat mengikut Seksyen 395 dan Seksyen 170 Kanun Keseksaan iaitu dakwaan samun berkumpulan serta menyamar sebagai penjawat awam.

Shaharuddin berkata dalam tempoh antara Januari dan September lepas, polis menerima laporan 382 kes samun warga asing di kawasan Dang Wangi, dan beliau menasihatkan orang ramai terutama pelancong dan warga asing supaya lebih peka bagi menggelak menjadi mangsa penipuan dan disamun. – Bernama

ACP Shaharudin Abdullah (tengah) menunjukkan bukti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berkaitan 10 suspek yang terlibat dalam kes jenayah samun warga Bangladesh dengan menyamar sebagai anggota polis selepas sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi kelmarin. – Bernama