ULASAN SIRI TV OLEH RUZAINI HAJI DAUD
SETENTUNYA ramai yang mengenali dan mengagumi seorang ahli Sains yang juga merupakan tokoh teragung pada abad ke-20, Albert Einstein.
Justeru, Noah Pink dan Kenneth Biller telah mengambil inisiatif untuk bekerjasama dengan National Geographic untuk menerbitkan sebuah drama antologi, Genius yang menampilkan unsur biografi mengenai tokoh kelahiran Jerman itu bagi mengenang jasa beliau.
Pada dasarnya, ia mengisahkan mengenai kehidupan awal Albert Einstein yang memulakan kerjaya hanya sebagai seorang kerani paten selama bertahun-tahun sebelum berjaya menjadi seorang ahli Fizik yang berjaya sekaligus berjaya memperkenalkan Teori Relatif Am yang cukup terkenal di seluruh dunia.
Pencipta siri drama ini mengakui bahawa mereka juga turut merujuk dan mengambil fakta sebenar mengenai kehidupan dan peribadi tokoh tersebut melalui sebuah buku biografi yang berjudul Einstein, His Life and Universe karya Walter Isaacson yang diterbitkan pada tahun 2007.
Geoffrey Rush telah dipertanggungkan untuk memegang peranan Albert Einstein di samping turut dibintangi oleh beberapa orang pelakon hebat seperti Johnny Flynn, Samantha Colley, Richard Topol, Michael McElhatton dan Emily Watson.

Ternyata begitu banyak cabaran yang dihadapi oleh tokoh Sains tersebut yang memulakan kariernya sebagai seorang kerani dan terus berjuang tanpa pernah mengenal erti putus asa di dalam kehidupannya sehingga berjaya menjadi seorang pendidik sekaligus mengorak langkah ke peringkat doktor falsafah.
Berikutan daripada usaha yang giat dilaksanakan dan berkat tidak pernah mengenal erti putus asa serta sentiasa memiliki fikiran untuk terus maju ke hadapan akhirnya Albert Einstein berjaya menerima penghargaan seperti Hadiah Nobel dalam bidang Fizik pada tahun 1921.
Maka, sekiranya anda ingin melihat sendiri bagaimana sejarah seorang tokoh seperti Albert Einstein berjaya mengecapi kejayaan sehingga di gelar sebagai tokoh Sains teragung jangan terlepas untuk terus menonton siri drama Genius sehingga ke penghujungnya.