Oleh Imelda Groves HA
Gambar oleh Fizah HAB
BANDAR SERI BEGAWAN, 8 Feb – Universiti Brunei Darussalam (UBD) telah memperkenalkan projek mereka bagi Pertandingan Shell Eco-Marathon (SEM) Asia 2017 dalam majlis pelancaran yang berlangsung di Bangunan Integrated Sains, UBD, di sini, hari ini.
Hadir di majlis pelancaran kenderaan berkenaan ialah Naib Canselor UBD, Datin Dr. Hajah Anita Binurul Zahrina binti Pehin Orang Kaya Laila Wijaya Dato Seri Setia Haji Awang Abdul Aziz.
Juga hadir ialah ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Dayang Khairunnisa binti Ash’ari.
Kenderaan yang diberi nama ‘GenNovative 35’ itu merupakan prototaip ke-4 yang dihasilkan untuk Pertandingan SEM Asia yang akan datang di Singapura dan diterajui oleh Pasukan GenNext Pejuang UBD.

Namanya yang diambil daripada perkataan GenNext, Innovative UBD dan nombor 35 diambil daripada Wawasan Brunei 2035 manakala itu, gabungan warna biru, merah jambu dan hitam dan putih pula masing-masing melambangkan keghairahan, keberanian dan inovatif UBD.
Ini merupakan kali ke-6 UBD menyertai Pertandingan SEM Asia, di mana mereka akan bertanding di Singapura pada 16 hingga 19 Mac depan menentang 119 pasukan pelajar lain dari 20 buah negara di seluruh rantau Asia.
Semasa Pertandingan SEM Asia 2015 di Manila, Brunei telah menduduki tempat ke-3 dalam Kategori Prototaip Sel Bahan Api Hidrogen.