Genre seram menjadi pilihan utama penonton

KEHADIRAN filem seram, The Nun yang menampilkan entiti yang menyerupai bentuk seorang biarawati berjaya menjadi pilihan utama kepada penonton di pawagam pada minggu ini.

Siri kelima dalam francais filem Conjuring itu berjaya mengumpulkan kutipan setinggi AS$53.5 juta hasil tayangan dari 3,876 pawagam.

Dengan jumlah kutipan itu, ia jelas berjaya mengatasi jumlah kutipan setinggi AS$41.8 juta yang berjaya diraih pada minggu pertama tayangan filem The Conjuring pada tahun 2013.

Malah, ia juga filem kedua terbitan Warner Bros yang berjaya mendapat kutipan tertinggi bagi bulan September selepas It yang ditayangkan pada bulan yang sama pada tahun lalu.

Di peringkat antarabangsa, The Nun telah berjaya mengumpulkan kutipan setinggi AS$131 juta.

Antara adegan seram yang ditonjolkan dalam filem The Nun.
Nick Young memperkenalkan kekasihnya, Rachel Chu kepada ibunya lakonan Michelle Yeoh ketika berada di Singapura dalam Crazy Rich Asians.
Peppermint merupakan sebuah filem aksi yang menampilkan Jeniffer Garner sebagai pelakon utama.
Penyelidikan sekumpulan saintis terganggu apabila seekor jerung gergasi purba kembali mengancam mereka dalam The Meg.
Seorang bapa kelihatan cukup bersemangat melakukan penyiasatan selepas anak daranya dilaporkan hilang dalam Searching.

Filem arahan Corin Hardy dan menelan kos pembikinan sebanyak AS$22 juta itu menampilkan Demian Bichir dan Taissa Farmiga sebagai teraju utama.

Empat siri filem Conjuring terbitan Warner Bros iaitu The Conjuring, Annabelle, The Conjuring 2 dan Annabelle: Creation telah berjaya mengumpulkan kutipan setinggi AS$1.1 bilion.

“Kami tahu bahawa sememangnya ramai yang teruja untuk menonton The Nun namun ternyata kami tidak menyangka bahawa ia adalah sesuatu yang di luar jangkaan,” jelas Ketua Pemasaran Domestik Warner Bros, Jeff Goldstein.

“Di samping itu, kami juga cukup menghargai setiap komen dan respons positif yang diberikan terhadap filem ini,” jelasnya.

Filem seram ini juga turut membantu meningkatkan prestasi Warner Bros kerana studio penerbitan itu berjaya kekal mendominasi carta selama empat minggu iaitu sejak Crazy Rich Asians ditayangkan.

Setelah mendominasi carta selama tiga minggu, Crazy Rich Asians harus akur menduduki tangga kedua dengan jumlah kutipan sebanyak AS$13.5 juta.

Secara keseluruhan, filem bergenre komedi dan romantik arahan Jon M. Chu itu telah berjaya mengumpulkan kutipan sebanyak AS$136 juta.

Antara filem yang baharu ditayangkan pada minggu ini adalah Peppermint terbitan STX yang berjaya menduduki tangga ketiga.

Filem yang dibintangi oleh Jennifer Garner itu berjaya mengumpulkan kutipan sebanyak AS$13.3 juta hasil tayangan dari 2,890 pawagam.

Sementara The Meg terbitan Warner Bros yang menumpukan kepada kisah sekumpulan saintis yang berusaha menyelamatkan diri daripada serangan jerung purba pula menduduki tangga keempat dengan jumlah kutipan sebanyak AS$6.1 juta.

Secara keseluruhan, filem yang dibintangi oleh Jason Statham itu telah berjaya mengumpulkan kutipan sebanyak AS$131.6 juta dalam tempoh tayangan selama lima minggu.

Manakala, Searching terbitan Sony pula berjaya mengumpilkan kutipan sebanyak AS$4.5 juta hasil tayangan dari 2,009 pawagam.

Dalam tempoh tayangan selama dua minggu, filem bercorak penyiasatan itu telah berjaya mengumpulkan kutipan sebanyak AS$14.3 juta.

Antara filem baharu lain yang turut ditayangkan pada minggu ini adalah God Bless the Broken Road yang dibintangi oleh Jordin Sparks, Robin Givens, Lindsay Pulsipher dan LaDainian Tomlinson.

Menurut comScore, hasil jualan tiket pada awal bulan September ini menurun sebanyak 28.3 peratus berbanding pada tahun lalu ketika It ditayangkan yang berjaya mengumpulkan kutipan sebanyak AS$123 juta pada minggu pertama tayangannya.