George Floyd disemadi hari ini

HOUSTON, 9 JUN – Lelaki Afrika-Amerika, George Floyd yang dibunuh pegawai polis kulit putih pada akhir bulan lalu akan disemadikan hari ini di tempat asalnya di Houston.

Floyd, 46, yang mati pada 25 Mei lalu di Minneapolis dan akan disemadikan bersebelahan kubur ibunya, Larcenia kini diangkat sebagai ikon global perjuangan menentang perkauman dan kekejaman polis.

Dengan ketinggian 1.93 meter, Floyd yang dikenali dalam kalangan keluarga dan rakan sebagai ‘gergasi baik’ ialah seorang penyanyi rap dan atlet yang berdepan tindakan undang-undang serta ketagihan, namun hanya mahukan yang terbaik untuk anaknya.

Floyd bersama ibunya, berpindah ke Houston sebaik pemuda itu dilahirkan di Carolina Utara pada 1973 sebelum dibesarkan di kawasan dikenali sebagai wad ketiga, iaitu sebuah kejiranan miskin yang didominasi Afrika-Amerika. Adik Floyd, Philonise ketika ditemui pada majlis pe-ringatan minggu lalu di Minneapolis berkata, abangnya itu sangat hebat ketika beraksi di padang bola selain cemerlang dalam sukan bola keranjang, dan kemudian bermain sukan terakhirnya itu ketika menjejakkan kaki ke kolej.

Floyd yang berhenti dari kolej untuk membantu keluarganya, menyertai dunia hip-hop di Houston dengan nama komersial, ‘Big Floyd’ dan menikmati beberapa kejayaan sebelum ditahan beberapa kali oleh polis akibat kesalahan mengedar dadah dan mencuri.

Media tempatan melaporkan bahawa Floyd pernah menjalani hukuman penjara pada awal 2000 atas kesalahan mencuri senjata sebelum terbabit dalam kegiatan keagamaan di sebuah gereja di tempat dia dibesarkan sebaik sahaja dibebaskan dengan menggunakan kemasyhuran bintang bola keranjang, Lebron James untuk menarik anak muda mengikuti jejak langkahnya.

Floyd kemudiannya berpindah ke Minneapolis pada 2014 dan menjadi pemandu trak untuk sebuah organisasi keagamaan sebelum bekerja sebagai penjaga bar bagi menanggung ibu dan anak perempuannya berusia enam tahun namun diberhentikan susulan penutupan premis itu akibat COVID-19. – AFP

Orang ramai menunggu dalam barisan untuk memberikan penghormatan terakhir kepada George Floyd di gereja Fountain of Praise kelmarin. – AFP