Sunday, April 20, 2025
31.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Gerai Hari Kebangsaan 2021 dilancarkan

    Oleh Syahmi Hassan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 26 FEB – Gerai Hari Kebangsaan 2021 sempena Sambutan Hari Kebangsaan ke-37 tahun membuka tirai malam ini dengan majlis pelancarannya di kawasan letak kereta di Jalan Bendahara, di ibu negara.

    Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya merasmikan acara tersebut ialah Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong.

    Turut hadir ialah ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara, setiausaha-setiausaha tetap dan timbalan-timbalan setiausaha tetap di Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP), pengarah-pengarah serta pegawai-pegawai dan kakitangan Jabatan Daerah Brunei dan Muara.

    Majlis dimulakan dengan bacaan Doa Selamat yang dibacakan oleh Pemangku Ketua Kampung Kasat, Awang Amran bin Haji Maidin dan kemudiannya diikuti dengan perasmian Gerai Hari Kebangsaan ke-37 oleh tetamu kehormat.

    Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri seterusnya membuat lawatan ke petak jualan yang antara lain menjual produk-produk Satu Kampung Satu Produk (1K1P).

    Selain itu, barangan seperti makanan dan pakaian serta permainan juga dapat diperoleh yang diusahakan oleh usahawan-usahawan tempatan. Gerai Hari Kebangsaan 2021 yang dibuka mulai jam 5 petang hingga 10 malam akan berakhir pada 7 Mac depan.

    Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri ketika melancarkan Gerai Hari Kebangsaan 2021, kelmarin.
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda