Friday, April 19, 2024
30.4 C
Brunei

    -

    Gerai jualan dibuka semula

    Oleh Syahmi Hassan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 3 JAN – Aktiviti-aktiviti perniagaan akan dibuka semula berikutan penelitian terhadap impak penularan wabak COVID-19 terhadap ekonomi yang dibuat oleh Jawatankuasa Pandu COVID-19, termasuk jua pada mendukung Pelan Pemulihan Kebangsaan COVID-19.

    Perkara tersebut diumumkan oleh Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong semasa Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam yang berlangsung di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.

    Yang Berhormat Pehin menjelaskan bahawa bermula 9 Januari, aktiviti gerai-gerai jualan semasa Program Bandarku Ceria adalah dibenarkan semula. Ini merujuk kepada Siaran Akhbar KHEDN bertarikh 20 November 2021 mengenai ‘Pembukaan Semula Program Bandarku Ceria’ pada 21 November 2021 yang mana aktiviti dibenarkan hanyalah terhad kepada riadah secara individu atau di dalam jumlah kumpulan yang terhad sahaja.

    “Lokasi bergerai adalah di kawasan letak kereta Jalan Bendahara iaitu berhadapan dengan Muzium Alat Kebesaran Diraja,” kata Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri.

    Selain itu, beliau juga menyentuh mengenai pembukaan semula Tamu Mingguan Kompleks Pasarneka dan Tamu Tutong (KPTT) yang sebelum ini telah ditutup sejak 12 Ogos tahun lepas disebabkan oleh penularan gelombang kedua COVID-19.

    Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri semasa sidang media. – Gambar oleh Muiz Matdani

    Menurut Yang Berhormat Pehin, KPTT akan dibuka semula seperti biasa pada setiap hari Khamis dan hari Ahad bermula 6 Januari nanti.

    “Tamu Mingguan tersebut akan beroperasi pada kadar kapasiti dan bilangan petak dan bangku berjaja seperti biasa,” jelasnya.

    Selain itu, Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri turut menerangkan mengenai garis panduan bagi Program BKC dan Tamu Mingguan KPTT.

    “Bagi memastikan garis panduan-garis panduan, peraturan-peraturan dan kawalan-kawalan operasi difahami dan dipatuhi oleh para penjaja, pihak Jabatan Bandaran Bandar Seri Begawan (JBBSB) akan memberikan penerangan mengenai perkara ini dalam masa terdekat.

    “Manakala Jabatan Bandaran Tutong akan mengadakan perjumpaan bersama para penjaja dalam masa terdekat bagi memberikan taklimat dan penerangan mengenai garis panduan-garis panduan dan peraturan-peraturan yang perlu dipatuhi,” kongsi Yang Berhormat Pehin.

    Menurutnya, pembukaan aktiviti gerai-gerai jualan semasa Program BKC dan Tamu Mingguan KPTT itu akan dilaksanakan mengikut garis panduan dan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

    Para penjaja dan pelanggan dikehendaki untuk mematuhi garis panduan Fasa Awal Endemik bagi pasar dan gerai terbuka, dalam Rangka Kerja Pemulihan COVID-19, yang berkuat kuasa pada masa ini.

    Langkah-langkah pengawalan bagi para penjaja berpandukan kepada garis panduan-garis panduan dan syarat-syarat yang telah ditetapkan seperti hanya penjaja yang berdaftar dengan JBBSB dan Jabatan Bandaran Tutong dibenarkan berjaja di petak berjaja yang ditetapkan; penjaja dimestikan untuk menjalani ujian antigen rapid test (ART) sebelum dibenarkan masuk dan mengikuti aktiviti berjaja. Keputusan negatif bagi ujian ART hendaklah ditunjukkan kepada kakitangan JBBSB atau Jabatan Bandaran Tutong yang bertugas di laluan masuk.

    Selain itu, hanya penjaja yang telah melengkapkan dua dos vaksin dan mempunyai kod warna BruHealth hijau dan kuning dibenarkan berjaja; mereka juga dikehendaki untuk mengimbas kod QR melalui aplikasi BruHealth; mana-mana penjaja dan pembantu yang kurang sihat adalah dinasihatkan untuk tidak hadir; memakai pelitup muka; mengamalkan penjarakan sosial dan kebersihan diri pada setiap masa dan memastikan menjaga kebersihan dan sanitasi gerai.

    Yang Berhormat Pehin turut menambah bahawa bagi Tamu Mingguan KPTT, setiap petak
    hanya dibenarkan seorang sahaja kecuali bagi petak masak-masakan dan salai-salaian dibenarkan dua orang.

    Manakala para pengunjung pula perlulah mematuhi garis panduan dan syarat-syarat ditetapkan seperti mengimbas kod QR BruHealth sebelum memasuki gerai jualan BKC atau Tamu Mingguan KPTT dan hanya individu yang mempunyai kod warna hijau atau kuning akan dibenarkan masuk dan kanak-kanak berumur di bawah 18 tahun yang belum menerima atau melengkapkan suntikan vaksin adalah dibenarkan hadir dengan syarat ditemani oleh orang dewasa yang telah melengkapkan vaksinasi mereka.

     

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Mahkamah batalkan sabitan bekas Presiden Maldives Abdulla Yameen

    NEW DELHI, 19 APRIL - Mahkamah di Maldives membatalkan sabitan bekas Presiden Abdulla Yameen atas tuduhan rasuah, kelmarin. Panel tiga hakim Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa...