Gerai perayaan ceriakan sambutan bersejarah

Oleh Nurdiyanah R.

Gambar oleh Muiz Matdani

Walaupun Brunei Darussalam dan negara-negara seluruh dunia dijejaskan dengan wabak koronavirus, namun Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang diraikan hari ini, 15 Julai, tetap disambut dalam suasana baharu dengan penuh kesyukuran oleh rakyat dan penduduk.

Tanggal 15 Julai merupakan hari bersejarah yang sangat dinanti-nantikan setiap tahun, tarikh tersebut merupakan hari keputeraan pemimpin berjiwa rakyat yang amat disayangi di negara ini dan biasanya diserikan dengan pelbagai acara-acara perayaan dan kesyukuran.

Di samping itu, bagi menyemarakkan dan menceriakan lagi suasana sambutan tersebut, seluruh negara juga telah dihiasi dengan pintu-pintu gerbang yang indah dan kain-kain rentang dibentangkan di mana-mana bagi merafakkan tanda sembah ucapan ‘Daulat Kebawah Duli Tuan Patik’.

Sementara pada waktu malam pula, ibu negara dan pekan-pekan di daerah yang lain turut bermandikan cahaya lampu-lampu cucul berwarna-warni yang bergemerlapan.

Kemeriahan gerai perayaan dinanti

Lazimnya, dalam kita memeriahkan lagi Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Baginda Sultan, gerai perayaan merupakan salah satu acara sampingan yang sudah tidak asing lagi diadakan pada waktu malam di keempat-empat buah daerah di negara ini.

Para peniaga di gerai perayaan hendaklah sentiasa mematuhi saranan yang telah ditetapkan oleh pihak-pihak berkuasa.
Seorang penjaja ketika menutuk sotong kering untuk djual pada musim perayaan ini.

Gambar fail tahun lalu menunjukkan suasana perayaan sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam pada waktu malam yang diserikan dengan cahaya lampu berwarna-warni. – Gambar fail

Pada tahun ini, acara sampingan berkenaan telah diadakan bermula 15 hingga 31 Julai dari pukul 5 petang hingga 10 malam di lokasi-lokasi yang telah ditetapkan di setiap daerah. Bagi Daerah Brunei dan Muara, lokasi gerai perayaan diadakan di kawasan lapang letak kereta Jalan Bendahara, kawasan Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien dan sebahagian Jalan Pretty. Manakala bagi Daerah Belait, gerai perayaan diadakan di kawasan letak kereta Bangunan Gerai Tudong Saji, Kuala Belait; dan Daerah Tutong di kawasan lapang berdepanan dengan Hospital Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Pekan Tutong serta bagi Daerah Temburong pula adalah di kawasan Padang Kompleks Dewan Kemasyarakatan Pekan Bangar.

Pastinya tarikan gerai perayaan yang menjual pelbagai makanan, barangan dan buah-buahan itu tetap dinanti-nantikan oleh seluruh lapisan masyarakat, bukan hanya kalangan peniaga yang bersemangat tinggi mencari rezeki yang halal bahkan juga pengunjung bagi sama-sama memeriahkan acara tahunan itu.

Sebut sahaja variasi makanan seperti sotong tutuk dan burger, minuman air kelapa dan jus segar; salai-salaian seperti kambing dan ayam bakar; buah-buahan seperti buah longan; pakaian, perhiasan dan sebagainya, semuanya dapat diperolehi di gerai perayaan ini.

Jangan leka, berhati-hati selalu

Namun dalam kita menikmati kemeriahan sambutan di gerai perayaan, janganlah kita mudah leka dengan situasi penularan wabak COVID-19 meskipun negara kita kekal kes sifar dari kes jangkitan baharu.

Sehubungan dengan itu, ke arah mempertingkatkan lagi langkah-langkah membendung penularan COVID-19 di negara ini serta berpandukan kepada nasihat-nasihat Kementerian Kesihatan, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN) terus menekankan bahawa para penjaja dan pengunjung gerai perayaan dikehendaki untuk mengikut syarat-syarat serta peraturan-peraturan yang ditetapkan oleh jabatan-jabatan bandaran dan daerah.

Bagi penjaja gerai perayaan, mereka hendaklah memastikan diri dan pekerja mereka sentiasa memakai penutup mulut dan hidung, mereka yang tidak sihat dinasihatkan untuk tidak turun berniaga serta memastikan penjarakan sosial termasuk pelaksanaan arahan-arahan yang dibuat oleh pihak kerajaan seperti penempatan petak dan memastikan kebersihan petak jualan.

Sementara itu, bagi pengunjung gerai perayaan perlu mengamalkan penjarakan sosial dengan mematuhi garis panduan dan arahan yang dibuat oleh pihak kerajaan serta mereka yang mempunyai tanda-tanda jangkitan atau tidak sihat adalah dinasihatkan untuk tidak mengunjungi gerai perayaan.

Dalam pada itu, KHEDN juga mengingatkan bahawa para penjaja dan pengunjung gerai perayaan yang didapati tidak mematuhi garis panduan dan syarat-syarat yang ditetapkan boleh dikenakan tindakan undang-undang di bawah Akta Penyakit Berjangkit Penggal 204.

Oleh yang demikian, bersama-samalah kita menjadi masyarakat yang bertanggungjawab dalam sama-sama menyemai budaya ‘beringat-ingat’ lebih-lebih lagi dalam menjaga kebersihan diri dan keluarga di mana sahaja berada.