Gerai perayaan meriahkan Hari Keputeraan

Oleh Syahmi Hassan
Gambar oleh Muiz Matdani

BANDAR SERI BEGAWAN, 15 JULAI – Gerai Perayaan sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-74 bermula hari ini hingga 31 Julai dari pukul 5 petang hingga 10 malam di lokasi-lokasi yang telah ditetapkan di setiap daerah.

Sehubungan itu, wartawan Media Permata meninjau suasana dan sambutan terhadap gerai-gerai perayaan pada kala pandemik serta menemu bual beberapa penjaja di gerai kawasan Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien dan kawasan lapang letak kereta Jalan Bendahara bagi gerai-gerai di Daerah Brunei dan Muara.

Pada tinjauan itu, suasana masih meriah meskipun gerai-gerai diletakkan pada jarak yang bersesuaian, mengikut syarat yang ditetapkan, manakala tinjauan petang tadi mendapati sambutan agak menggalakkan daripada orang ramai yang mengunjungi gerai-gerai tersebut.

Manakala semasa temu bual, Awang Umar bin Haji Alitdin yang dikenali sebagai Aminggunawan, salah seorang penjaja menjual minuman dan makanan mengongsi bahawa beliau berasa sangat gembira kerana dapat dibenarkan berjaja pada musim perayaan ini.

“Kami pun berasa senang hati kerana bertahun-tahun mengadakannya, dan kami menjangkakan bahawa tahun ini tidak jadi diadakan kerana COVID-19, namun,
Alhamdulillah kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia memberi kebenaran
“Namun pihak berkuasa mengambil langkah berhati-hati dengan menasihatkan kami untuk melaksanakan langkah-langkah tertentu bagi membendung penularan COVID-19,” tambahnya.

Suasana meriah hari pertama gerai perayaan manakala peniaga (gambar sisipan) melahirkan rasa gembira kerana dibenarkan berjaja pada musim perayaan kali ini.
Antara pengusaha makanan yang menyertai gerai perayaan di ibu negara.
Sambutan orang ramai terhadap gerai perayaan di ibu negara tetap menggalakkan walaupun terdapat perbezaaan berbanding tahun-tahun sebelumnya.
Ibu bapa tidak melepaskan peluang membawa anak-anak mengunjungi gerai perayaan sambil beriadah di Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien.

“Kita juga tidak boleh leka atau lalai, jaga penjarakan sosial masing-masing, mengetahui langkah-langkah yang perlu diikut, agar sama-sama membendung COVID-19, dan dalam masa yang sama dapat masih meraikan Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Baginda Sultan,” katanya lagi.

Menurut beliau lagi, ada hikmah di sebalik berlakunya COVID-19 di mana pada tahun ini, proses permohonan untuk berjaja kelihatan lebih terjaga terutama daripada segi penjarakan antara gerai penjaja dan aspek kebersihan juga amat ditekankan.

Seorang lagi penjaja bagi Syarikat Kostra yang berjual baju sukan di kawasan lapang letak kereta Jalan Bendahara, Awang Ismawandi bin Nayan mengongsikan bahawa beliau berasa bersyukur kerana dapat meraikan Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan KDYMM ke-74, pada tahun ini, dan dalam masa yang sama juga mereka diberikan peluang untuk berjaja untuk beroleh mata pencarian yang lebih.

“Gerai perayaan pada tahun ini juga berbeza dari tahun-tahun yang sudah, di mana pada tahun ini, terdapat langkah-langkah dan peraturan yang perlu dipatuhi untuk kita sama-sama membendung penularan COVID-19.

“Di sini kita boleh lihat ada diberikan jarak antara setiap gerai. Kami juga di sini menyediakan pensanitasi tangan untuk kegunaan pengunjung dan jika terdapat ramai pengunjung dalam satu masa, kami akan mengehadkan kemasukan agar tidak berlaku perkumpulan ramai dalam satu masa,” katanya.

Di kesempatan itu, Awang Ismawandi juga menyembahkan ucapan menjunjung kasih kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia, dan berdoa semoga Baginda Sultan dipanjangkan usia dan kekal karar memerintah negara.